PRESIDEN Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Patinggi Tan Sri James Jemut Masing begitu yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP mampu membentuk gandingan mantap, sekali gus menawan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) pada 2021.

Bagi Masing yang telah 37 tahun berkecimpung dalam politik Sarawak, tiada alasan untuk GPS tidak kuat menjelang PRN-12. Persepsi masyarakat luar bandar terhadap GPS amat berbeza sekarang ini. Mereka sedar GPS merupakan parti tempatan sepenuhnya dan objektif utama adalah untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak yang terhakis.

Dalam pada itu, Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mahu GPS kekal berempat buat masa ini. “Ia seperti sebuah kereta yang mempunyai empat tayar… jadi adalah lebih baik ia tidak diganggu,” jelas Masing. Ikuti wawancara bersama Masing mengenai peranan dan sumbangan yang boleh diberikan PRS untuk GPS dan rakyat Sarawak secara keseluruhan.

Sebagai salah satu parti komponen, bagaimana PRS memainkan peranan dalam GPS dan untuk masyarakat?

Saya percaya PRS akan memberikan sumbangan yang amat baik untuk GPS. Ini kerana PRS mewakili komuniti Dayak dan kami akan bekerjasama dengan PBB untuk menguatkan kawasan luar bandar. Jika dua parti ini (PBB dan PRS) bergabung dengan baik… tiada alasan untuk GPS tidak kuat menjelang pilihan raya 2021 nanti.

Persepsi masyarakat luar bandar terhadap GPS amat berbeza sekarang ini. Mereka sedar GPS adalah parti Sarawak sepenuhnya dan objektif utama adalah berjuang untuk hak-hak Sarawak yang terhakis.

Ketika kami bersama Barisan Nasional (BN), kami berada dalam kawalan UMNO, tetapi sekarang tidak lagi. Oleh itu, Abang Johari telah membuat keputusan yang betul untuk meninggalkan BN, dan dengan faktor ini, sudah pasti kami mampu menang.

Apa komen Tan Sri mengenai gandingan empat parti komponen GPS dalam menghadapi PRN-12?

Dengan semua parti tempatan Sarawak membentuk gandingan mantap, saya amat yakin GPS akan memenangi PRN-12 pada 2021 nanti. Ini kerana keempat-empat parti komponen dalam GPS bekerjasama seperti sebuah keluarga dan ia berupaya membentuk kekuatan GPS dalam pilihan raya nanti.

Kami mempunyai persefahaman. Memang tidak dapat dinafikan terdapat pertelagahan kecil dalam kalangan kami, namun ia hanyalah perkara biasa. Ia seperti pasangan suami isteri yang ada kalangan tidak bersetuju dengan pendapat masing-masing. Jadi apa yang sangat penting ialah kejujuran parti-parti komponen untuk bekerjasama sebagai sebuah keluarga untuk GPS.

Saya yakin di bawah orang yang betul, mempunyai tingkah laku yang baik, berpersonaliti dan memiliki pemikiran seperti Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kami berpeluang cerah untuk memenangi lebih daripada 72 kerusi dalam PRN-12.

Tan Sri bagaimana dengan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR)?

Kerajaan Negeri berusaha sedaya upaya untuk memperbetul sesuatu yang salah bagi memastikan pemilik tanah NCR mempunyai hak milik tanah mereka melalui undang-undang yang komprehensif. Ketua kampung dan ketua rumah panjang perlu berhati-hati dan telus ketika melakukan perjanjian usaha sama dengan mana-mana pihak untuk membangunkan tanah NCR.

Ia penting untuk mengelak kehilangan tanah atau terlibat dalam kes mahkamah. Persidangan Pemakai Menua dan Pulau Galau (PMPG) mendedahkan 1.2 juta hektar tanah telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk tinjauan perimeter. Manakala 833,000 hektar telah ditinjau dan 656,000 hektar telah diwartakan dan lebih daripada 17,000 lot individu yang meliputi 20,000 hektar telah dikaji.

Terdapat pihak yang mendakwa GPS seperti tuak lama dalam botol baharu. Jadi apa komen Tan Sri mengenainya?

Ia mungkin tuak lama, tetapi dengan struktur yang berbeza. Ini kerana GPS tidak lagi terikat dengan parti di Semenanjung. Jika Sarawak diterajui parti dari Semenanjung, semua aset seperti minyak dan gas akan diambil oleh mereka. Oleh itu, saya yakin rakyat Sarawak tidak mahu perkara seperti itu berlaku. Kita mahu Sarawak diurus oleh orang Sarawak yang lebih tahu dan lebih arif tentang Sarawak, berbanding orang luar.

Bagi Tan Sri, bagaimana sekiranya terdapat parti baharu yang ingin menyertai GPS, terutama dalam masa terdekat ini.

Buat masa ini, saya berpendapat adalah lebih baik untuk kami kekal berempat. Ia seperti sebuah kereta yang mempunyai empat tayar… jadi adalah lebih baik ia tidak diganggu. Sekiranya terlalu banyak parti, maka ia memungkinkan berlakunya konflik dalam pembahagian kerusi menjelang pilihan raya nanti, dan ia hanya akan melemahkan GPS.

Apa yang penting bagi kami sekarang ini ialah bekerjasama rapat dan memberikan sokongan padu kepada Abang Johari kerana beliau mempunyai keupayaan untuk memimpin dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk Sarawk. –Sarawakvoice