Friday, October 7, 2022

PAS: Kit Siang cuba kelirukan rakyat untuk tutup sikap rasis DAP

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak pernah menamakan Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri, kata Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan.

Ujarnya, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menipu dan membuat kesimpulan sendiri berdasarkan situasi genting ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

“Tindakannya juga adalah untuk menutup isu utama yang menunjukkan DAP bersikap rasis dan autokratik,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, umum mengetahui bagaimana sikap DAP yang mengaku demokratik, sebaliknya lantang menyekat hak dan kebebasan PAS untuk menjulang agenda Islam yang diperjuangkan selama ini.

Contohnya, kata beliau, ketika PAS mahu meminda Akta 355 dan bantahan terhadap pengharaman arak.

Beliau mendakwa perkara-perkara tersebut membawa kepada campur tangan DAP dalam pemilihan AJK PAS pada tahun 2015.

“Sikap rasis DAP semakin ketara setelah menang dalam PRU Ke-14 dan menduduki beberapa jawatan serta kementerian penting dalam kerajaan seperti Kementerian Kewangan,

Kementerian Pendidikan, Kementerian Multimedia dan Komunikasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Pertahanan. Banyak tindakan politik yang dilakukan sengaja mencetuskan sentimen perkauman,” katanya.

“Rasa kurang senang rakyat terhadap sikap rasis dan superior DAP telah semakin meningkat,” katanya lagi.

Oleh kerana itu, kata Nasrudin, Kit Siang cuba mengelirukan rakyat dengan membawa pelbagai dakwaan baharu untuk menutup sikap rasis DAP dan beberapa kelemahan yang dilakukan oleh pemimpin DAP dalam kerajaan terutama melibatkan anaknya, Lim Guan Eng. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru