KUCHING: Pengguna laluan Lebuh Raya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan di seluruh Sarawak dinasihatkan mengunjungi laman sesawang MetMalaysia bagi mengetahui situasi terkini cuaca di laluan berkenaan.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khiruddin Drahman berkata, ini penting untuk mengelakkan mereka terperangkap dalam situasi hujan luar biasa dan air bertakung.

“Kebanyakan laluan membelah bukit dan dalam proses pembinaan, sistem perparitan belum sempurna.

“Malah hujan luar biasa membawa takungan air yang banyak, dan ini boleh menyebablan laluan terputus dan banjir kilat,” katanya semalam.

Khiruddin berpesan, jika pengguna terpaksa mengharungi laluan tersebut, mereka harus bersiap sedia.

“Rancang perjalanan dengan baik. Pastikan alat komunikasi berada dalam keadaan terbaik.

“Sediakan makanan tambahan, sebagai persediaan seandainya terkandas,” tambahnya ketika ditemui selepas perbarisan tahunan Bomba Sarawak semalam.

Dalam majlis tersebut, anggota bomba Balai Batu Lintang, Kamaruddin Pandi diumum Pegawai Bomba Contoh manakala kumpulan Cooltech daripada Zon 6, Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng menerima sijil penghargaan bagi mengiktiraf kejayaan mereka dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif.

Beberapa pengamal media dan individu turut menerima surat penghargaan yang sama.

Menambah lanjut, sepanjang situasi hujan luar biasa di seluruh negeri sejak bulan lalu, pihak bomba banyak menerima laporan penyelamatan di laluan tersebut.

Ini berikutan laluan terputus, jalan mendap dan kenderaan terkandas.

“Kita juga telah menghantar pasukan pemantau di lokasi-lokasi ‘panas’,” katanya. –Sarawakvoice