MIRI: Polis telah menahan lima lelaki termasuk seorang dalang utama geng “Lakia Teck” yang aktif dalam kes curi kenderaan serta pecah rumah di sini sejak setahun lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, lima lelaki tempatan berusia 25 hingga 43 tahun dengan empat suspek ditahan pukul 5.20 pagi semalam disusuli dengan penahanan suspek kelima hasil maklumat diberi oleh keempat-empat suspek.

“Empat suspek ditahan di  sebuah rumah di Jalan Biri Utama, Pujut 2 dan seorang suspek ditahan di Lorong Tasik 1A, Jalan Tasik Vista Perdana,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lim berkata, turut dirampas semasa serbuan ialah sepucuk pistol tiruan label K-17 bersama satu magazin peluru pistol tiruan, sebilah pisau Rambo, 11 unit telefon bimbit, dua keeping plat nombor kenderaan Malaysia dan dua plat nombor kenderaan Brunei.

“Turut dirampas sebuah kepala lori Toyota Hiace dan sebuah kenderaan Perodua Kancil,” katanya sambil menambah tiga suspek ditahan positif dadah.

Beliau berkata,  semakan kes laporan kecurian kenderaan mendapati empat plat nombor yang dirampas adalah kenderaan yang dilaporkan hilang pada bulan Jun 2018 hingga 4 Jan 2019.

Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan RM50,000 dan polis masih lagi memburu suspek lain yang ada kaitan dengan geng Lakia Teck.

Beliau berkata, dengan penahanan lima suspek tersebut polis yakin dapat menyelesaikan tujuh kes berkaitan dengan curi kenderaan dan pecah rumah di bandar raya Miri.

Katanya, pistol tiruan yang digunakan salah seorang suspek dipercayai digunakan untuk pecah rumah memandangkan ada saksi mendakwa melihat sepucuk pistol turut digunakan semasa kegiatan pecah rumah berlaku.

“Kes disiasat di bawah 379A Kanun Keseksaan (KK) untuk curi kenderaan serta 457 KK bagi pecah rumah dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 untuk kesalahan memiliki senjata tiruan,” katanya lagi.  — BERNAMA