Kerajaan Negeri Sarawak tidak akan mengeluarkan lesen pembalakan baru kecuali di kawasan yang akan dibersihkan bagi tujuan pembangunan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Hj Awang Tengah Ali Hassan berkata Sarawak komited dalam memastikan kelestarian hutan Sarawak.

“Kerajaan Negeri Sarawak menyasarkan 1 juta hektar ditanam semula dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Sejak penubuhan Jabatan Hutan pada 1919, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan pengurusan hutan dilaksanakan secara lestari dan mengikut piawaian.

“Ini termasuklah penguatkuasaan dalam membanteras pembalakan haram dan aktiviti haram dalam industri perkayuan,” katanya semasa berucap di Majlis Penutupan Program Perundingan Pihak Berkepentingan mengenai Dasar Dasar Perhutanan Negeri Sarawak, semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan dan Menteri Sumber Asli II mahu industri perkayuan menjadi penyumbang kepada ekonomi negeri Sarawak.

“Industri perkayuan akan terus kekal relevan dan lestari seterusnya menjadi salah satu penyumbang kepada sosio ekonomi kepada negeri dan rakyat di Sarawak,” katanya.