KUCHING: Ketua Menteri berjanji kerajaan akan mengambil langkah untuk menaik taraf kemudahan di Gua Niah, Miri sementara menunggu gua bersejarah  itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia bagi menjadikannya tapak itu kawasan tarikan pelancongan utama dunia.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,Gua Niah merupakan antara kejayaan bersejarah dalam bidang penyelidikan di Sarawak daripada aspek sejarah.

Pada Isnin lepas Abang Johari dan beberapa anggota kabinetnya telah pergi ke gua berkenaan.

Menurut dapatan kajian terbaharu, Gua Niah merupakan kawasan penempatan terawal manusia lebih 65,000 tahun lalu.

“Gua Niah mempunyai bukti bahawa penempatan manusia di situ bermula kira-kira 65,000 tahun,” jelasnya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Sesi Perundingan Pihak-Pihak Berkepentingan Mengenai Dasar Perhutanan dicadangkan di sini, Selasa.

Justeru, ujarnya lagi, dengan adanya bukti itu, kerajaan perlu mengekalkan hutan semula jadi di sekitar gua terbabit.

Beliau memberi jaminan, tiada aktiviti kuari akan dibenarkan di kawasan sekitar Gua Niah bagi memastikan daya tarikannya tidak terjejas. — Sarawakvoice