Chong, buktikan senarai harga barang turun 70 peratus

0
5

KUCHING: Chong Chieng Jen dicabar mengeluarkan senarai harga barang yang didakwanya turun sebanyak 70 peratus di bandar raya ini.

Beliau dilaporkan media sebagai berkata penurunan harga berkenaan membabitkan 90 jenis barang yang direkodkan sejak 1 Januari lalu, berbanding dalam tempoh sama tahun lalu.

Setiausaha Agung Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo menggesa Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin mengemukakan senarai barangan berkenaan sejak Oktober, tetapi hingga ini gagal berbuat demikian.

Kata Foo, Chong beberapa kali telah membuat dakwaan sedemikian, terbaharu pada Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabtu lalu mendakwa sebanyak 70 peratus produk pengguna di 10 pasar raya dan pasar raya besar di bandar raya Kuching menunjukkan penurunan harga susulan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Berdasarkan tinjauan, lebih separuh daripada barang yang merekodkan penurunan harga merangkumi produk makanan dan makanan basah. Contohnya, halia dari China kini berharga RM2.99 satu kilogram, berbanding RM4.99 tahun lalu,” katanya.

“Telur ayam gred A juga menunjukkan penurunan harga kepada RM10.99, berbanding RM11.50 satu bekas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat kementeriannya di sini.

Jelas Chong, penurunan harga itu didorong faktor pemansuhan cukai berganda ketika cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan dulu yang menekan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Saya mahu beliau kemukakan senarai  itu, tetapi hingga kini belum lagi berbuat demikian,” tegas Foo di sidang media di ibu pejabat SUPP di sini, Selasa.

“Saya mahu Chong tidak mengelak daripada soalan saya,” katanya lagi. — Sarawakvoice