MIRI: Gara-gara nafsu serakah merogol gadis bawah umur tiga tahun lalu, seorang lelaki bakal hidup di dalam penjara selama 15 tahun dan disebat 12 kali.

Dalam kejadian pertama, lelaki berusia 32 tahun itu dituduh merogol gadis berusia 14 tahun sembilan bulan itu  pada pukul 2 pagi, 11 Mac 2015 di sebuah rumah pekerja di Marudi.

Dalam tuduhan kedua pula, dia didakwa merogol mangsa pada pukul 4 pagi, 11 Mac 2015 di rumah pekerja yang sama.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Steve Ritikos di Mahkamah Sesyen semalam setelah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa memanggil 11 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan dalam kes terbabit.

Bagi kesalahan pertama tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan.

Bagi kesalahan kedua, dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan.

Namun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak. — Sarawakvoice