KUALA LUMPUR: Bagai tanpa mengira hari dan waktu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus melancarkan serangan terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Malam tadi beliau melemparkan sindiran terhadap janji-janji yang ditawarkan PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Najib menerusi hantaran dalam Facebook rasminya, berkongsi gambar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tertera di Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan senarai janji PRU-14.

“Terus terang saya nak tanya, siapa pernah baca janji-janji seperti ditulis dalam hantaran yang saya kongsikan ini?,” katanya dalam hantaran sinis itu.

“Siapa lagi telah termakan janji-janji ini pada ketika itu? Tak perlu malu untuk mengaku. #MaluApaBossKu #dahlencunke,” katanya .

Tambah Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, Kerajaan PH juga telah menunaikan janji untuk memansuhkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dengan menjenamakan semula sebagai Awas iaitu gabungan AES dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

“Sebenarnya, janji untuk mansuhkan AES seperti di bawah telah ditepati.

“Cuma AES telah dijenamakan semula menjadi AWAS dan jumlah kamera telah ditambah lagi,” ujarnya. — Sarawakvoice