Sebelum ini kecoh tentang penarikan diri Trio memanah compund yang dikatakan berpunca dari faktor pemotongan elaun menjadi hanya RM500 sahaja. Dengan menggunakan alasan status mereka sebagai atlet separuh masa dan bukannya atlet sepenuh masa sebagai alasan pemotongan tersebut.

Tetapi beberapa hari lalu pula kecoh apabila terdapat seorang lagi atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin yang ’sekolahkan’ Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq di media sosial milik atlet tersebut. Atlet tersebut Hanya mempersoalkan tindakan Syed Saddiq yang menamatkan kontrak jurulatihnya serta merta.

Namun luahan atlet tersebut mendapat reaksi negatif dari Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq. Kerana tidak berpuas hati dengan situasi berkenaan Syed Saddiq telah membelasah kembali kenyataan atlet tersebut dengan kenyataan yang Syed Saddiq kesal kerana atlet tersebut menggunakan media sosial sebagai medium luahan perasaan.

Malah Syed Saddiq menasihatkan atlet tersebut untuk bertemu dengannya jika tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan dan bukannya meluahkan rasa kecewa di media sosial. Tetapi berbeza pula dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil inisiatif sendiri untuk berjumpa dengan Muhammad Irfan dan mendengar permasalahan sebenar yang dihadapinya.

Saya yakin dan pasti, TMJ melakukan tindakan tersebut dengan ikhlas kerana Tunku pernah dan ada pengalaman tentang selok belok urus tadbir sukan. Jadi sudah tentu Tunku sedar dan faham bahawa apa-apa sahaja jenis sukan memerlukan sumber kewangan yang besar dan kukuh bagi memastikan segala proses berjalan dengan lancar.

Jadi jika kita lihat inilah contoh seorang pemimpin yang bijak dan berwibawa kerana berani tampil ke hadapan untuk mendengar sendiri segala rungutan yang berlaku tanpa mengira darjat mahupun pangkat. Sepatutnya apabila orang bawahan mempunyai masalah bukan hanya sekadar berbalas kenyataan sahaja tetapi perlu mendekati mereka dan mendengar sendiri segala masalah yang sedang dihadapinya.

Apa salahnya Syed Saddiq sebagai Menteri Belia dan Sukan mengambil langkah sendiri untuk turun pandang berjumpa dan meluangkan masa dengan para atlet negara untuk merungkai segala permasalahan yang timbul. Di mana jika dengar sejak akhir-akhir ini pun, banyak isu yang terpalit dengan atlet negara termasuk masalah elaun atlet negara.

Lagipun, Syed Saddiq sudah menjanjikan bulan dan bintang kepada mereka sejak berada dalam kerajaan. Jadi inilah masanya untuk Syed Saddiq menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan sebaiknya dan jika boleh kurangkan berpolitik lebihkan fokus kepada industri sukan negara agar nama Malaysia terus diharumkan dipersada dunia.

Malah Syed Saddiq sebagai Menteri Belia dan Sukan juga perlu adil dan bijak untuk menguruskan belanjawan yang melibatkan sukan elektronik dengan sukan biasa. Ini penting kerana ingin memastikan perbelanjaan bagi atlet-atlet negara sentiasa mencukupi dari semasa ke semasa.

Jadi jangan kerana ego dan isu yang kecil seperti ini kita kehilangan aset-aset besar negara. Diharapkan masalah ini dapat ditangani dengan sebaiknya bagi memastikan kebajikan atlet terus dijaga rapi. Akhir sekali saya ingin nasihatkan agar Syed Saddiq belajarlah dari TMJ, jangan hanya tahu tunjuk pandai sahaja. Malu apa bossku kalau kita belajar sesuatu yang baik?

Dhia Hani, Persatuan Pemikir Muda Johor