Saya lihat rata-rata pemimpin PH cuba memberi alasan mengapa bantuan dan projek mesra rakyat perlu dimansuhkan dan dipotong.

“Hutang RM1 trilion. Kerajaan dah tak ada duit, di curi BN.” diulang berkali-kali oleh PH.

Bab hutang RM1 trilion, saya tak mahu ulas dengan mendalam lagi kerana saya telah penat menjelaskan.

Angka RM1 trilion ini juga tidak ada di dalam mana-mana laporan kewangan rasmi kerajaan.

Ini cuma propaganda rekaan Guan Eng berdasarkan bayaran pajakan sehingga tahun 2045:

Boleh baca jawapan bertulis rasmi dia di Parlimen:
https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10155778120360952

Lebih elok Guan Eng kira sampai tahun 2200. Hutang RM10 trilion lebih sedap didengar.

Baik.

Hari ini saya nak bongkarkan satu lagi penipuan Guan Eng dan PH.

Data-data di lampiran ini, saya petik dari laporan rasmi Bank Negara Malaysia, bukan dari tepi jalan:
http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=58&pg=255&ac=1&bb=cgo

Ianya jelas menunjukkan pendapatan, perbelanjaan dan defisit kerajaan selepas PRU14, iaitu dari bulan Mei ke November adalah lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas di bawah BN.

Kita maklum bahawa kerajaan telah hilang sekurang-kurangnya RM40 bilion kerana telah gantikan GST dengan SST serta tempoh bebas cukai selama 3 bulan tahun lepas.

Mengapa pula pendapatan kerajaan boleh lebih tinggi berbanding tahun lepas?

Ini ialah kerana PH telah jarah RM82 bilion dari rizab Petronas serta mengarahkan Khazanah dan BNM untuk membayar kepada kerajaan bagi menampung kehilangan hasil GST seperti yang diakui oleh Guan Eng sebelum ini.

Tetapi yang lebih mencurigakan ialah perbelanjaan kerajaan di bawah PH adalah lebih tinggi berbanding BN walaupun rata-rata bantuan kepada rakyat telah dimansuhkan atau dikurangkan.

Di mana perginya perbelanjaan ini pula? Untuk siapa? Mengapa lebih tinggi?

Oleh itu, defisit negara dan hutang negara juga meningkat di bawah kerajaan PH walaupun bantuan kepada rakyat telah dicantas.

Mengikut belanjawan 2019 PH, defisit untuk tahun 2018 (-3.7%) dan untuk tahun 2019 (-3.4%) adalah lebih tinggi berbanding unjuran defisit tahun 2018 di bawah BN (-2.8%).

Hutang rasmi negara juga dijangka meningkat kepada RM820 bilion pada akhir tahun 2019 berbanding RM686 bilion pada masa BN.

Ini fakta.

Sebelum PRU14, PH sering berjanji mereka akan menurunkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 20% dengan mengurangkan rasuah, pembaziran dan penyelewangan.

Tetapi apa sudah jadi hari ini?

Sebaliknya perbelanjaan, defisit dan hutang bertambah.

Kalau ikut logik PH sebelum ini, adakah rasuah, pembaziran dan penyelewangan telah bertambah di dalam tangan mereka?

Apa komen dari Menteri Hal Ehwal Najib atau anak dia?