KUCHING: Penemuan terbaharu di Gua Niah — bahawa wujud penempatan manusia terawal di gua itu sekitar 65,000 tahun dahulu – dipercayai mampu menjadi tarikan terbaharu dunia terhadap Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau diberi taklimat berkaitan penemuan terbaharu itu.

Memetik Dayak Daily, sebelum itu, Abang Johari bersama-sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Sri Douglas Uggah Embas berjalan kaki tiga kilometer melawat gua terbabit di Taman Negara Niah pada Isnin minggu lepas.

Bercakap pada Majlis Penyerahan Warta Pimu’ung Singai dan Perasmian Karnival Singai 2019 di Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Singai di Kampung Sudoh, Singai pada Sabtu lepas Abang Johari mengaku penemuan terbabit dilakukan oleh saintis University Of New South Wales.


Laporan portal tersebut turut memetik maklumat Profesor Madya Dr Darren Curneon, University Of New South Wales, Sydney, Australia pada program di Pejabat Jabatan Muzium Sarawak, Jalan Barrack, Oktober 2018.

Darren dikatakan mendedahkan tapak arkeologi dikenali sebagai “Gua Pedagang” di dalam kompleks Gua Niah memiliki bukti seperti alatan batu dan tulang haiwan yang membuktikan manusia purba sudah menghuni gua tersebut sekitar 65,000 tahun silam.

Menurut Darren manusia purba ini datang ke rantau ini dari Afrika ketika itu paras laut lebih rendah dan cuaca dunia lebih sejuk berbanding hari ini.

Gua Niah dikatakan menjadi tempat tinggal terbaik bagi manusia purba yang melindungi mereka dari cuaca dan juga haiwan buas. — Sarawakvoice