Sunday, June 26, 2022

Narawi ambil masa setengah hari cipta lagu GPS

Secara Rawak

KUCHING: Seniman popular Sarawak, Narawi Rashidi, 55, memberi penekanan aspek perpaduan dalam lirik lagu GPS Utamakan Sarawak yang kini berkumandang di seluruh Bumi Kenyalang.

Bagi Narawi, penduduk Sarawak yang terkenal dengan kepelbagaian kaum dan agama tidak boleh dipisahkan daripada perpaduan dan keharmonian kerana ia merupakan pegangan dan panduan kepemimpinan Sarawak sejak dahulu.

“Saya mendapat inspirasi daripada situasi dan keadaan semasa yang berlaku di Sarawak dan Malaysia. Di Sarawak kita sebagai pemerintah, tetapi di Semenanjung kita sebagai pembangkang,” katanya.

“Jadi saya menumpukan perpaduan dan bagaimana untuk memantapkan lagi perpaduan tersebut. Misalnya “genggam erat perpaduan” serta bersatu ke arah kemajuan,” jelas Narawi yang berasal dari Kampung Bandarshah, Kuching.

“Saya mengambil masa setengah hari untuk menyiapkan lagu tersebut dan hampir tiga bulan untuk proses rakaman,” katanya yang mencipta lagu tersebut pada Julai 2018.

NARAWI RASHIDI… Menitikberatkan aspek perpaduan dalam lirik lagu.

“Saya dijemput sendiri oleh pihak GPS untuk mencipta lagu patriotik,” kata Narawi yang sudah lebih 20 tahun terlibat dalam penciptaan lagu berbentuk patriotik dan lebih 30 tahun dalam penciptaan lagu biasa.

“Ada juga dua hingga tiga orang Yang Berhormat (YB) memberi tip kepada saya untuk memantapkan lirik dan melodi lagu tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Narawi juga pernah dijemput pihak Muzium dan Jabatan Kemahiran untuk mencipta lagu patriotik. “Saya lebih kepada irama Malaysia dan idola saya ialah Allahyarham Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain).”

Narawi merupakan ahli Kumpulan Saberkas 1979 dan kini berkhidmat di Kampung Budaya Sarawak. “Saya berada dalam kumpulan Saberkas sebagai pelajar dan kini sebagai pengajar.

“Abang saya, Hassan Rashidi yang membawa saya dalam Saberkas pada 1976 sebagai ahli. Bapa saya Rashidi Hassan juga pernah terlibat dalam muzik sekitar tahun 50-an iaitu sebagai ahli Kumpulan 338,” katanya.

TUNJUK BAKAT… Narawi telah pun 30 tahun terlibat dalam dunia seni.a

Sebagai anak Sarawak, Narawi mahu memanfaatkan keunikan budaya dan kepelbagaian kaum sebagai sumber inspirasi dalam ciptaan lagunya.

Berikut ialah lirik lagu GPS Utamakan Sarawak:

Bersama kita berganding tangan
genggam perpaduan
dengan GPS menuju kejayaan
membina Sarawak gemilang

GPS satu gabungan
impian rakyat dijunjung
bumi Sarawak sentiasa diutamakan
GPS menyahut seruan

Mari kita bergerak majukan
Sarawak Bumi Kenyalang
megahlah namanya
pelbagai kaum hidup harmoni
GPS berjuang bersama

Sarawak Bumi yang ku cinta
untukmu relaku berkorban
hak Sarawak kita pertahankan
maju Sarawak selamanya

Hak Sarawak kita pertahankan
maju Sarawak selamanya.

–Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru