GEORGE TOWN: Seorang suri rumah kerugian RM280,000 selepas menjadi mangsa penipuan Love Scam setelah diperdayakan seorang lelaki yang mendakwa sebagai seorang warganegara England dikenali sebagai Edin Teyul.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A Anbalagan hari ini berkata wanita berusia 56 tahun mulai berkenalan dengan lelaki berkenaan di laman sosial Facebook Ogos lepas sebelum mereka menjadi lebih rapat dan mulai berkomunikasi menerusi WhatsApp.

Menurutnya mangsa mulai terjebak pada 11 Okt lepas apabila akur dengan permintaan lelaki itu untuk memindahkan wang berjumlah AS$3,000 (kira-kira RM12,331) sebagai bayaran bagi melepaskannya dari tahanan Jabatan Imigresen kerana membawa wang dan ketulan emas melebihi had yang dibenarkan.

Setelah itu mangsa telah membuat beberapa lagi transaksi kewangan ke dalam akaun yang diberikan lelaki berkenaan yang setiap satunya melibatkan nilai antara RM4,000 dan RM130,000 antara 1 Nov lepas dan semalam.

“Setelah memindahkan sejumlah RM280,000, lelaki berkenaan masih terus meminta wang dari wanita itu namun pengadu mulai merasa curiga dan membuat laporan polis,” katanya sambil menambah kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.–BERNAMA