Sunday, June 26, 2022

Abang Johari: Kami pertahankan hak Sarawak

Secara Rawak

UTAMAKAN SARAWAK menjadi pegangan dan asas perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kewujudan GPS berlandaskan kata hikmat tersebut yang membawa makna rakyat dan Sarawak sentiasa diutamakan.

Perubahan landskap politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan kesedaran tinggi di bawah Barisan Nasional (BN) mendorong parti tulang belakang Bumi Kenyalang, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama tiga rakan komponen; Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), dan Parti Demokratik Progresif (PDP) — mengorak langkah drastik, maka lahirlah GPS.

“Kita tidak berebut untuk menjadi perdana menteri… biar orang lain berebut hendak jadi perdana menteri, tetapi misi kita adalah untuk menguatkan negeri kita,” tegas Presiden GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika wawancara khas bersempena pelancaran GPS, 9 Januari lepas.

Ikuti kupasan dan penjelasan Abang Johari berkaitan prinsip, pendirian, hala tuju, misi dan visi GPS.

Apa yang Datuk fikir ketika mengambil keputusan keluar BN dan menubuhkan GPS? Bagaimana reaksi parti komponen ketika itu?

Ketika berlaku perubahan tampuk kepemimpinan pusat, saya dan rakan-rakan memikirkan dan melihat pengalaman yang kami lalui ketika bersama BN.
Kami dapati terdapat sesuatu yang tidak betul. Jadi apabila kerajaan berubah, kami harus perbetul dan buat keputusan sendiri dengan semangat yang bagus. Gabungan kami adalah berdasarkan rundingan.

Kami harus mendapat kelulusan untuk menubuhkan parti baharu. Keputusan dibuat oleh Kuala Lumpur berdasarkan rundingan. Kami merasai kami berada di pihak yang tidak mempunyai kelebihan (sebagai pembangkang di peringkat Persekutuan).

Jadi selepas PRU-14 berdasarkan pengalaman tersebut, sudah tiba bagi kami untuk berdikari. Kami meninggalkan BN, tetapi masih menjalin hubungan sebagai rakan, kerana terdapat bahagian yang kami boleh bekerjasama, tetapi kami sebagai parti yang bebas.

Dalam PRN 2016 kami menang di bawah Adenan (bekas Ketua Menteri). Kami bercakap berkaitan hak-hak yang terhakis. Kami mahu menyertai ekonomi yang berasaskan sumber asli. Kami meneruskan apa-apa yang dijanjikan untuk kembali mendapatkan hak-hak yang terhakis. Kita boleh membangun dengan pantas dengan acuan kita sendiri. Kerana itulah kami meninggalkan BN. Ini adalah detik bersejarah kerana buat pertama kali parti utama Sarawak bersatu dan kami tidak bernaung di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ini bermakna kami bebas bersuara dalam konteks Persekutuan. Kami masih mempunyai polisi domestik kami sendiri. Kepentingan Sarawak diutamakan… oleh itu dalam GPS kami mempunyai prinsip utamakan Sarawak.

Sebelum PRU14 terdapat cadangan permintaan lebih untuk autonomi, tetapi selepas PRU14 BN kalah. Jadi bagaimana?

Terdapat jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan bersama oleh Hasidah (Sharifah Hasidah) dan Nancy (Datuk Nancy Shukri) untuk mengkaji pemindahan kuasa Sarawak dan ia berjaya… sudah pun dalam proses. Kemudiannya kami menghadapi pilihan raya dan BN kalah di peringkat Persekutuan, tetapi kita harus ingat Sarawak menang majoriti… kami memenangi 19 kerusi dan saya rasa hal yang berlaku adalah apabila kerajaan berubah, ini adalah masa yang tepat bagi kami.

Jika BN menang, kami masih menganggap ia Perjanjian Malaysia kerana kami yang memulakannya. Sekarang kami telah pun menuju ke peringkat kedua yang melibatkan Perlembagaan dan inilah yang kami lakukan ketika ini dan Perdana Menteri tahu hal ini dan jawatankuasa dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Bagaimana respons dan sambutan Kerajaan Persekutuan terhadap Sarawak sekarang ini?

Setakat ini kita mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan… kita nampak bahawa sejak tujuh, lapan bulan memerintah, PH telah menghantar beberapa orang menteri ke Sarawak untuk berunding, sama ada pembangunan luar bandar, pertanian, komoditi atau pembangunan manusia. Mereka telah datang, termasuk perubatan dan mereka jumpa saya dan kementerian-kementerian di Sarawak untuk berunding. Ini bermakna ada jalinan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Dan ini harus dilakukan.

Datuk ada memberi penekanan sektor minyak dan gas di Sarawak. Bagi pihak di Semenanjung ada pelbagai versi, menteri ekonomi kata lain, menteri kewangan kata lain. Jadi bagaimana pandangan Sarawak?

Ya, itu senang, kerana pendirian Sarawak ialah ia berpaksi kepada peruntukan yang ada dalam Perlembagaan, sama ada perlembagaan negeri, Persekutuan dan juga Perjanjian Malaysia. Empat perkara yang penting dalam perlembagaan kita yang tidak boleh disentuh atau dikaji semula iaitu hak ke atas tanah, hak ke atas sempadan, autonomi imigresen dan galian di atas tanah atau di bawah tanah dan memasuki lingkungan sempadan.

Bermakna inilah perkara yang harus diterima. Secara kebetulan minyak dan gas dijumpai di tanah kita. Sebab itu apabila tahun lepas saya ambil alih daripada Tok Nan, saya lihat undang-undang galian minyak kita iaitu Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) dan kita naikkan taraf undang-undang itu dari sudut terminologi mengikut yang dikehendaki industri minyak dan gas, itu perkara pertama. Keduanya ialah kita ada hak ke atas cukai jualan, maka saya dan rakan-rakan dalam GPS bersetuju.

Maka kita laksanakan cukai ke atas jualan minyak dan juga produk petroleum dan ini yang sedang kita lakukan. Ia memberi pulangan atau pendapatan tambahan kepada dana negeri Sarawak dan ini adalah berpaksi kepada peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan Negeri dan juga Perjanjian Malaysia.

Di sebalik bantahan daripada pihak di seberang sana (Semenanjung) kita tetap dengan pendirian kita. Jadi, bagaimana pandangan Datuk tentang hal ini…

Sebenarnya tidak ada bantahan, malah Kerajaan Pusat mengakui ini adalah peruntukan atau hak Kerajaan Negeri. Hanya cara pelaksanaan yang sedang kita runding kerana pihak Petronas bergantung kepada undang-undang PDA 1974 iaitu Akta Pembangunan Petroleum. Kita pula ada undang-undang OMO iaitu undang-undang yang telah diluluskan pada 1958 dan undang-undang ini masih berjalan, bermakna kita mempunyai hak menerusi OMO. Dari sudut pelesenan, ini adalah kuasa Kerajaan Negeri di bawah perlembagaan kita.

Penegasan dari sudut GPS itu sendiri, ia kelihatan lebih kepada mendesak untuk menyerah autonomi kepada Sarawak. Boleh Datuk jelaskan dan apa lagi selepas ini?

Sebenarnya GPS tidak ‘menekan’ apa-apa. GPS hanya mempertahankan apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian Malaysia dan kedua yang telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia dan ini hendaklah dilaksana secara adil mengikut lunas-lunas yang ada dalam perlembagaan, itu sahaja. Kita tidak ambil hak orang dan orang jangan ambil hak kita, bermakna yang kita perjuangkan ialah hak kita dan harus memberi manfaat kepada Sarawak, itu sahaja. Ini akan menjadi landasan perjuangan GPS kerana yang penting Sarawak dan rakyat Sarawak, itu yang penting.

Seruan kepada rakyat Sarawak mengapa perlu sokong GPS?

Ya, rakyat Sarawak harus sedar bahawa kita mesti mempunyai platform kita sendiri untuk mempertahankan hak-hak kita dan yang kedua membangunkan negeri kita, cara hidup rakyat kita. Ini kerana kalau ekonomi kita mantap, politik kita stabil dan kita mempunyai sumber-sumber yang boleh menambah nilai kepada kita. Kita mahu hidup rakyat meningkat.

Saya ambil contoh sebuah negara di Scadinavia, termasuk Sweden dan Finland. Negara itu tidak besar dan populasinya hanya lima juta orang, tetapi dari sudut ekonominya sangat mantap dan tidak terpengaruh dengan negara Eropah sebab mereka mempunyai kedudukan yang kuat dari segi ekonomi, teknologi dan bakat rakyat.

Dari sudut Sarawak, kita ada bakat, ramai rakyat Sarawak yang bekerja di Singapura, banyak di luar negara dan mereka ini boleh balik jika kita mempunyai ekosistem yang moden yang berpaksi kepada teknologi baharu. Sebab itu kami dalam GPS menuju ke arah ekonomi moden yang berasaskan kepada ekonomi digital. Ini adalah cara moden dan anak-anak kita yang dilatih di universiti boleh balik. Mereka ini keluar dari sempadan politik… bermakna ia dipengaruhi ekosistem. Ekonomi baharu ini harus diperjuang untuk generasi baharu.

Bagaimana Datuk melihat perkembangan ini?

Saya generasi pertengahan kerana lahir waktu koloni dan membesar waktu Malaysia dan sekarang ini adalah tanggungjawab kita semua dan apa pula generasi selepas saya. Ekosistem akan bertukar dan ekonomi juga akan bertukar. Mereka lebih bijak sebab sistem pendidikan.

Kita mempunyai mahasiswa dan mereka ini kita gabungkan, kerana mereka ada bakat dan apa yang penting GPS akan mewujudkan ekosistem untuk mereka dan negeri kita akan menjadi negeri maju. Jadi kita tidak payah bergaduh, anda hanya perlu fokus terhadap pembangunan kita. Kita naikkan taraf hidup masyarakat kita, pertanian adalah moden, caranya adalah cara teknologi, tidak boleh ikut cara lama dan anak-anak kita telah dilatih dalam perkara ini.

Harapan Datuk terhadap ahli-ahli dalam komponen GPS. Bagaimana mereka harus bertindak?

Kita dalam GPS mempunyai satu pendekatan bahawa kita bergerak dalam satu nada, satu irama dalam satu perahu… jadi cara kita berkayuh mestilah berkayuh sama, kita telah bersetuju dalam hal ini. Saya percaya kalau kita dapat menjurus ke satu destinasi yang baik, maka saya percaya masa depan kita cerah, sangat cerah kerana kita tidak terkongkong dengan orang luar. Kalau kita terkongkong dengan orang luar, maka susahlah.

Maksud slogan Utamakan Sarawak?

Kita utamakan kehendak orang Sarawak dan masa depan Sarawak. Itu asas perjuangan kita kerana kita tidak berebut untuk menjadi perdana menteri… biar orang lain berebut nak jadi perdana menteri, tetapi misi kita adalah untuk menguatkan negeri kita.

Terdapat pihak yang mendakwa atau melabel GPS sebagai tuak lama dalam botol baharu. Bagaimana Datuk menangkis dakwaan dan label berkenaan?

Tidak seharusnya seperti itu. Pakatan Harapan juga sama… kamu harus ingat ketika kami di bawah Barisan Nasional, mereka berada dalam ‘botol lama’, tetapi sekarang mereka (PH) mempunyai ‘botol baharu’, tetapi masih tuak yang sama. Bagaimanapun bagi GPS, kami bergerak sendiri, kami tidak terikat dengan parti di Kuala Lumpur.

Kami adalah parti tempatan. Kami berdiri di atas kaki sendiri. Syarat-syarat dalam kalangan kami adalah apabila tiga suku daripada kami bersetuju untuk parti lain menyertai kami, maka mereka boleh bersama kami. Di bawah BN ia adalah rundingan. Kami mempunyai pendirian kami sendiri. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru