SADONG JAYA: Gabungan Parti Sarawak GPS umpama nadi yang meneruskan perancangan dan perlaksanaan projek-projek pembangunan di seluruh pelusuk Sarawak.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB Datuk Julaihi Narawi berkata, GPS juga bertanggungjawab mambantu warga Sarawak tatkala Kerajaan Persekutuan seolah melepas tangan apabila menangguhkan projek-projek seperti pembinaan jambatan di laluan pesisir.

Oleh hal yang demikian, beliau yang juga Menteri Muda Jalan Pesisir merangkap ADUN Sebuyau menambah, Kerajaan Sarawak di bawah GPS membiayai sendiri segala projek pembinaan jambatan di laluan pesisir di bawah Program Perhubungan Kawasan Pesisir.

Jelasnya lagi, hanya GPS yang selayaknya menjadi nadi yang berupaya mentadbir urus Sarawak dalam semua aspek.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Bendera Jelajah Bendera GPS di sini.

Sementara itu, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo berkata menyifatkan GPS umpama benteng pertahanan yang akan mempertahankan Sarawak.

Beliau menambah, hanya GPS yang memahami segala aspirasi Sarawak untuk memajukan Sarawak dengan cara sendiri.

Tegasnya, di bawah GPS, Kerajaan Sarawak akan terus menuntut hak terutama yang melibatkan hasil bumi seperti minyak dan gas.

Foto: TVSarawak.com