Tuesday, June 28, 2022

Identiti mangsa dikenal pasti

Secara Rawak

KUCHING: Warga emas yang maut kemalangan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub berdekatan Jambatan Satok dikenal pasti sebagai Shamsuddin Abidin.

Mangsa berusia 79 tahun dan berasal dari Bau.

Dalam kejadian kira-kira.6.30 pagi itu, mangsa telah dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang wanita ketika melintas jalan.

Akibat rempuhan itu, mangsa dipercayai terpelanting lebih 10 meter menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan patah kaki kiri.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Umum Sarawak yang tiba di lokasi.

Sementara itu kenderaan Perodua Myvi yang terlibat dalam pelanggaran itu remuk serta retak pada cermin hadapan.

Namun pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan pegawai penyiasat trafik telah mengambil keterangan pemandu untuk tindakan lanjut.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk dari hala Petra Jaya menuju Satok, disebabkan insiden berlaku pada waktu puncak, ketika ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah serta turun ke pejabat.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Turut dijumpai pada mangsa, seunit telefon bimbit, seutas jam tangan, dan buku akaun bank dipercayai milik mangsa. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru