KUCHING: Hasil saringan di pintu masuk Pelabuhan Senari, Kuching, pihak berkuasa melakukan serbuan dan merampas 11 jenis produk tradisional Cina tidak berdaftar bernilai RM7.4 juta di gudang simpanan pada 8 Januari lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata rampasan tersebut dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF).

Dalam kenyataannya, Noor Hisham mengaku pihak berkuasa menemui sejumlah lebih 100,000 kotak produk tidak berdaftar itu.

Beliau berkata, semua produk itu dipercayai didalangi sindiket dan kini pihak kementerian menjalankan siasatan menyeluruh di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Sabit kesalahan, mereka yang bersalah boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun dikenakan.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama atau RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. — Sarawakvoice