SIBU: Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan gabungan yang kuat bagi Pakatan Harapan (PH) Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

Oscar berkata demikian sewaktu ditemubual oleh wartawan SarawakVoice di pejabatnya.

Oscar berkata, “GPS yang bakal dilancar pada 19 Januari ini memang satu gabungan yang kuat bagi PH Sarawak, tidak seperti Barisan Nasional (BN) di Semenanjung , yang semakin lemah dan BN tidak tidak menunjukkan alternatif sebagai pilihan rakyat.”

Jelas Oscar, “GPS di Sarawak, mereka masih ada kekuatannya tersendiri, terutamanya di kawasan pendalaman. Sejak dahulu lagi, mereka ada jentera dan gabungan mereka agak kuat dan kukuh sekaligus memberikan saingan yang sengit kepada PH.”

“Walaupun PH sudah membentuk kerajaan di peringkat persekutuan, tetapi di Sarawak, jentera kita masih lemah di pendalaman, dan berbeza dengan GPS yang sejak dahulu lagi kuat di kawasan pendalaman, ” jelasnya.

“Apa yang penting bagi saya, rakyat mesti melihat keadaan sebenar politik Sarawak dan negara, walaupun mereka sebuah gabungan yang baru, tetapi hakikatnya , mereka tetap BN yang lama, ‘Old Wine, in new bottle’ , ” katanya.

Ujarnya, ” itulah PH mempunyai kelebihan, PH merupakan kerajaan yang baru, apa yang kami tunjukkan ialah sebuah kerajaan yang telus. Kami mempunyai agenda tersendiri dan jelas kepada rakyat. ”

Wartawan SarawakVoice sempat bertanyakan soalan , ” anda cakap GPS merupakan ‘old wine new bottle’ , tetapi apa kurangnya PH yang kebanyakan mereka daripada BN dan PAS seperti Anwar, Mahathir, Mukhriz atau Mat Sabu?

Jelas Oscar, “saya rasa tidak sama, GPS tukar nama sahaja, tetapi pemimpin masih sama, dan berbeza dengan PH, sememangnya saya mengakui ada pemimpin PH merupakan bekas BN dan PAS, tetapi mereka tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan BN dan PAS dan mereka keluar parti dan menjadi pembangkang.”

Tambah Oscar, “GPS keluar BN selepas kekalahan BN, manakala mereka ini, keluar BN dan PAS sebelum BN kalah pada PRU14 yang lalu, dan ini menunjukkan perbezaan antara pemimpin PH dan GPS.” — Sarawakvoice