SIBU: Pertahankan hak Sarawak menjadi faktor penubuhan Gabungan Parti Sarawak ( GPS).

Itulah yang dikatakan oleh Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) , Datuk Snowdan Lawan sewaktu ditemubual oleh wartawan SarawakVoice selepas Majlis Penyerahan Bendera GPS oleh Rombongan Jelajah GPS di Dewan MUC malam tadi.

“Dengan kekalahan Barisan Nasional di peringkat nasional, ia menjadi sebagai hikmah kepada kita dan kita rasa inilah masa yang sesuai untuk menubuhkan blok kita sendiri iaitu GPS,” ujarnya.

“Dengan penubuhan GPS ini, hanya kita yang menentukan hala tuju sendiri. Kita tidak terikat dengan mana-mana parti dan kita tidak perlu merujuk kepada parti-parti di peringkat persekutuan untuk konteks memperjuangkan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963, ” ujar Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak itu.

Tambah Snowdan, “Empat komponen GPS adalah parti tempatan yang memperjuangkan dan lebih tahu pasal Sarawak, dan kita tidak mahu lagi dikawal oleh parti daripada Semenanjung Malaysia.”

Wartawan SarawakVoice bertanyakan soalan, mengapa baru sekarang dan kenapa tidak diperjuangkan lebih awal?

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu, “lebih baik lewat daripada tidak memperjuangkan apa-apa. Dulunya kita dalam BN, kita ada 13 parti komponen di dalamnya dan kita ada persetujuan bersama sewaktu penubuhan BN pada 1973.”

Tambah Snowdan, “Sekarang politik sudah berbeza, lihat kerajaan di peringkat persekutuan sudah bertukar dan inilah masa yang sesuai untuk menentukan hala tuju kita sendiri.”

“Di Sarawak, GPS merupakan kerajaan, dan kita telah memilih samaada untuk bersama BN atau tidak dan kita memilih untuk tidak lagi bersama BN kerana kita ingin menentukan hala tuju kita sendiri dan membuat keputusan kita sendiri dan tanpa perlu merujuk kepada parti-parti daripada Semenanjung,” jelasnya.

“Saya rasa tidak salah apa yang dilakukan GPS kerana kita melihat politik lebih jauh dan keadaan semasa politik, ” ujarnya lagi. — Sarawakvoice