Tuesday, June 28, 2022

Kanak-kanak 2 tahun selamat selepas 5 jam dijadikan tebusan, polis tembak mati suspek di Sabah

Secara Rawak

TUARAN: Nyawa seorang kanak-kanak berusia dua tahun, berada di hujung tanduk, apabila untuk lebih lima jam, menjadi tebusan seorang lelaki tidak dikenali di sini semalam.

Drama tebusan di tingkat empat pangsapuri Telipok Ria itu bagaimanapun berakhir, apabila mangsa berjaya diselamatkan, selepas sepasukan anggota khas polis berjaya memasuki pangsapuri itu melalui tingkap dapur, dan melepaskan beberapa das tembakan.

Tembakan dikatakan dilepaskan selepas suspek bertindak untuk membaling kanak-kanak terbabit ke bawah.

Menurut saksi, insiden termasuk bermula sekitar 12.30 tengah hari dan berakhir jam 5.32 petang itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah yang ditemui di lokasi kejadian memberitahu, suspek yang identitinya masih dikenal pasti mati serta-merta  manakala mangsa mengalami kecederaan di leher.

“Siasatan awal kita mendapati suspek yang bersenjatakan sebilah pisau telah melarikan mangsa lalu mengurungnya di sebuah rumah, yang kemudian disedari oleh penduduk lain.

“Saksi telah menghubungi polis dan perunding polis berusaha memujuk suspek untuk melepaskan mangsa.

“Suspek bagaimanapun tidak makan pujuk, sebaliknya terus meletakkan pisau di leher mangsa menyebabkannya terluka.

Omar berkata, dalam keadaan tegang, suspek cuba ” membuang” mangsa dan polis telah bertindak  melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai suspek dan menyelamatkan mangsa, “katanya.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Motif kejadian masih disiasat, termasuk mengenal pasti keadaan suspek sama ada mengalami masalah mental atau dibawah pengaruh dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru