Saturday, January 22, 2022

Abd Rahman kunjungi Esplanad Telaga Air, tinjau karnival “mensia marek”, bincang pelancaran GPS

Secara Rawak

KUCHING: Pada hujung minggu lepas, Menteri Muda Utiliti Sarawak Datuk Dr Haji Abdul Rahman Junaidi menghadiri Program Jualan Usahawan Pelancongan di Esplanad Telaga Air.

Program dikelolakan oleh Saberkas Cawangan Pantai Damai dan Skuad Srikandi Pantai Damai.

Memuat naik foto kunjungan beliau di Facebook , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata, pelbagai acara berbentuk keusahawanan dan kekeluargaan diadakan sepanjang Ahad dengan penyertaan golongan belia dan keluarga.

Abdul Rahman pada status di Facebooknya turut memuat naik program Majlis Pelancaran Projek Bina Baru Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Kampung Bintawa  oleh Ahli Parlimen Santubong Datuk Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya sebuah bangunan baharu dibina  menggantikan struktur klinik lama yang agak berusia.

Pembinaan klinik tersebut menurut beliau dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

“Ia akan memberi keselesaan kepada pegawai perubatan dan petugas klinik dalam mengendali perkhidmatan kesihatan dengan lebih sempurna kepada para pesakit yang semakin ramai,” kata Abdul Rahman.

Sementara, Abdul Rahman turut meluangkan masa bersama Jawatankuasa Pengelola Karnival Mensia Marek Darul Hana.

“Karnival tok akan dianjurkan di pekarangan Masjid Darul Hana pada penghujung Februari depan.

“Pelbagai acara sukan lamak dan permainan tradisional yang pernah dimainkan oleh miak-miak marek dan urang kampong di perkampungan Seberang Hilir akan dipertunjukkan dalam karnival tok kelak,” ujar Abdul Rahman di Facebooknya.

“Antara permainan mensia marek yang popular ialah main gudi, cengkek, tongko getah, guli, gasin, peletop, congkak, rondes, raga bulatan, panah dan banyak agik,” memetik status laman sosial Abdul Rahman itu.

Sementara, beliau turut “melaporkan” Mesyuarat Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 1 Kuching yang dihadirinya bagi membincangkan persiapan pengelolaan Seminar Politik dan Pelancaran GPS Zon 1 pada penghujung Januari ini.

Sebelum itu, Abdul Rahman juga sempat menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pengurusan Masjid, Surau dan Sekolah MIS. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru