KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan jersi baharu bagi musim 2019 di Dataran Bandaraya, di sini, Sabtu malam.

Jersi baharu musim ini didatangkan dengan dua rekaan khas daripada ibu pejabat Nike di Amerika Syarikat iaitu merah biru bagi tuan rumah dan jersi perlawanan di tempat lawan berwarna ungu.

Pelancaran jersi baharu tersebut disempurnakan Presiden JDT, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dengan kehadiran penyokong kelab berkenaan walaupun dalam keadaan hujan renyai.

Pelancaran turut dapat disaksikan peminat JDT di seluruh daerah menerusi tayangan skrin gergasi.

Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues berkata pihaknya amat berbesar hati menjadi rakan kongsi kepada sebuah kelab yang memiliki rekod terbaik di Malaysia.

Katanya, jersi pasukan JDT terbaharu itu memperagakan lambang harimau yang bertenaga dan menjadi kebanggaan negeri Johor dan direka dengan grafik penuh yang terkandung warna-warna bendera negeri ini.

Manakala jersi perlawanan di tempat lawan mengambil inspirasi dari La Ferrari berwarna ungu milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sinonim dengan kelajuan, kekuatan dan elegan.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim.

Jersi baharu berkenaan akan digunakan JDT pada saingan Liga Super, Johor Darul Ta’zim II yang beraksi di Liga Perdana, Johor Darul Ta’zim III bagi saingan Piala Presiden dan Johor Darul Ta’zim IV yang beraksi dalam saingan Piala Belia.

Penyokong boleh mendapatkan jersi itu yang dijual di seluruh daerah dengan harga RM185 sehelai.– BERNAMA

Foto: Page JOHOR Southern Tigers