KUCHING: Beberapa hari lalu, telah tular satu gambar budak lelaki yang terlantar sakit di Hospital Umum Sarawak yang dikatakan dijaga oleh adik perempuannya yang berusia 10 tahun dan tidak bersekolah.

Wartawan SV bagaimanapun, telah berjaya menghubungi Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah bagi mendapatkan laporan penuh dan reaksi beliau.

Menurut Fatimah, cerita yang ditularkan itu adalah tidak benar.

“Kedua-dua ibu bapanya yang menjaga pesakit sejak beliau dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak dari Hospital Betong pada 3 November lalu.

“Saya telah berbincang mengenai kes ini kepada Pegawai Kebajikan Bahagian Kuching, Puan Norhayati, Pegawai Kebajikan, Puan Rosliza, Pegawai sosial Hospital, Encik Batang, Ketua Jururawat, Haslinda, PRO Hospital, Puan Mary serta kedua ibu bapa pesakit,”jelasnya ketika dihubungi.

Tambah Fatimah, ibu bapa pesakit dan seorang lagi anaknya kini ditempatkan di Anjung Kasih buat sementara waktu dan diberikan baucer makanan oleh pihak hospital.

“Selain itu, Pegawai Kebajikan Bahagian Kuching, Puan Norhayati telah menyerahkan duit Tabung Bantuan Segera (TBS) berjumlah RM300 dan sedikit bantuan makanan kepada ibu bapa pesakit.

“Beliau juga telah meluluskan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM450 mulai Januari 2019.

“Perpindahan kes ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Betong akan dibuat Setelah pesakit keluar kelak,” ujarnya.

Justeru, orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan berita atau maklumat yang kurang tepat di media sosial. –Sarawakvoice