KUCHING: Pada awal Januari lepas, pihak perkhidmatan kurier memaklumkan menerima dua kotak putih yang didakwa mengandungi ikan di dalamnya.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian pihak Jabatan Kastam mendapati bukan ikan terkandung di dalam kotak berkenaan seperti diperakui pengirim.

Sebaliknya pegawai “terkejut” mendapati terdapat lima ekor anak buaya di dalam kotak berkenaan.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan media memberitahu, pihak Kastam memaklumkan hal tersebut kepada mereka.

Kenyataan menyebut, sepasukan anggota SFC bergegas ke tempat penemuan bagi melakukan operasi susulan.

SFC kemudian menghubungi pihak pengirim kotak berkenaan, namun usaha tersebut gagal dan pihaknya membuat laporan polis berhubung penemuan anak buaya itu di Balai Polis Sibu.

Menurut SFC kes berkenaan disiasat di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

SFC percaya penyeludup cuba membawa keluar lima ekor anak buaya berkenaan ke
Semenanjung. — Sarawakvoice

Foto Ihsan SFC