KUALA LUMPUR: “Setelah tular begitu hebat… jadual hujung minggu adik Syukor Khamis mulai sibuk… pagi ni bawa 2 orang wakil media ke kandang Pak Khamis….tahniah adik Syukor…,” tulis Dallah Dean di facebooknya.

Dallah Dean atau Abdullah Dean Mohd Zain seperti terpapar pada tandatangan fotonya di Facebooknya, salah seorang jurufoto yang terlibat “mempopularkan” Syukor melalui lensa kameranya seawal 2016 lepas.

Di Facebook Dallah Dean turut termuat banyak foto hasil karyanya berdasarkan kehidupan “Syukor Khamis – Kampong Boy”.

Facebook Syukor Khamis – Kampong Boy, pelajar SMK Padang Midin Kuala Terengganu

memuatkan lebih banyak foto rakaman pelbagai jurufoto yang terlibat dalam “penggambaran” meriah aksi Syukor bersama kerbau milik ayahnya di desa.

Ditular di media sosial melalui perkongsian netizen bahawa aksi kehidupan Syukor bersama kerbau dan haiwan lainnya telah memenangi 20 foto terbaik dunia dan juara peringkat Asia dari lensa pelbagai jurufoto terkenal tanah air.

Menariknya, Mufti wilayah Persekutuan di Facebook beliau turut tertarik mengulas foto “indah” itu.

“Sesungguhnya gambar yang bersifat kampungan dan ‘alami mengingatkan usul asal orang kampung dan desa bersamanya sawah bendang, lembu kerbau dan pohon kayu yang menghijau melatari fitrah kemanusiaan bagi masyarakat kampung Melayu,” bunyi respons Mufti di media sosialnya itu.

“Tahniah sekali lagi kerana gambar yang membawa kepada kemenangan. Saya ucapkan Syabas & Tahniah!” ucap Mufti.

Sementara, Nazri Sulaiman di Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri “atas perkongsian sekeping gambar saya dari koleksi gambar-gambar ini.”

“Syahdu dan tersentuh bila membaca coretan dari Dr ini. Mudah-mudahan kita dikurniakan ALLAH perasaan sayang-menyayangi antara sesama makhluk Allah di bumi ini,” ujar Nazri.

Di Facebook Syukor Khamis pada berapa statusnya memaparkan berita kemenangan para jurufoto yang merakam gambarnya seperti untuk peraduan Nikon Annual Photo Awards 2017.

Ini termasuk siaran foto yang diterbitka di media antarabangsa termasuk oleh National Geographic dan sebagainya.

Di Facebook Syukor Khamis sebelum ini adminnya menulis: “Mereka juga dah datang… anda bila lagi… boleh PM untuk tempahan sesi fotograpi anda…”. — Sarawakvoice