KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini menempelak tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut membuat perbandingan harga petrol dengan negara-negara ASEAN.

Beliau yang menulis di catatan terbaharu di Facebooknya berkata, “masa Kerajaan Barisan Nasional (BN) buat perbandingan harga petrol dengan negara-negara ASEAN, ramai yang kecam dan kata tak relevan banding dengan tempat lain. ”

“Sekarang, semua stesen minyak dipaksa untuk memaparkan harga petrol di negara-negara ASEAN,” jelas bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

Khairy yang mengulas dengan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mengarahkan supaya semua stesen minyak di seluruh negara memaparkan pembandingan harga runcit petroleum di Malaysia dengan negara-negara ASEAN.

Khairy yang berkata lagi di dalam catatan terbaharu Facebooknya berkata, “Cuma saya tak pasti bila Brunei dikeluarkan dari ASEAN. Ke sengaja tak nak tunjuk harga petrol kat Brunei?.”

Bagi minggu kedua pelaksanaan harga minyak mengikut apungan menyaksikan perubahan. Harga minyak bagi RON 95 turun satu sen menjadi RM1.92 , harga minyak RON97 juga turun satu sen menjadi RM2.22 dan harga diesel naik satu sen menjadikan harga diesel itu menjadi RM2.05 .

Pada 24 Disember lalu, kabinet Pakatan Harapan bersetuju untuk menyelaraskan harga minyak mengikut mingguan .

Pada 5 Januari lalu, harga minyak menyaksikan penurunan harga minyak sebanyak 27 sen untuk RON 95 dan RON97 manakala harga diesel turun sebanyak 14 sen.

Pada minggu pertama, harga minyak untuk RON 95 turun menjadi RM1.93 , RON97 turun menjadi RM2.23 dan diesel turun menjadi RM2.04. –Sarawakvoice