KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian mengenal pasti beberapa industri dan produk yang berpotensi besar untuk dikomersialkan menjadi “Champion Industries” bagi Sarawak.

Antara produk tersebut adalah Tanaman Komoditi, Tanaman Makanan, Produk Pemprosesan Makanan, Industri Ternakan dan Industri Akuakultur.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kementerian dalam mencapai matlamat bagi menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri pengeluar utama makanan pada 2030.

“Selain itu, usaha ini juga adalah untuk meningkatkan pendapatan penduduk bagi mengurangkan jurang kemiskinan antara bandar dan luar bandar, menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian, meningkatkan penglibatan belia dalam pertanian bagi mengatasi masalah kekurangan petani serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri,”  katanya.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) berkata demikian semasa berucap pada Majlis Amanat Pertanian 2019 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri  Muda Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn serta Setiausaha Tetap MANRED, Datuk Ik Pahon.  — BERNAMA

Kredit Foto Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS