KUCHING: Beting Maro dan Saribas mengajak seluruh rakyat negeri ini khususnya di konstituensi masing-masing untuk memperkuatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Masing-masing mahu sokongan dan dokongan padu diberikan terhadap gabungan baharu itu serta penerajunya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Razaili Gapor, GPS mempunyai hala tuju baharu perjuangan parti dan suara rakyat pelbagai bangsa serta agama dalam mencapai kemajuan bersama.

Malah katanya, menyediakan landasan untuk menyatukan setiap anak jati Bumi Kenyalang.

“Ia penting agar kita semua dapat terus mempertahankan hak serta kepentingan Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selaras dengan perlembagaan negeri mahupun negara.

“Saya menyeru kepada semua ahli parti PBB termasuk di Beting Maro agar membuka lembaran baharu untuk bekerja lebih kuat seterusnya berjuang membela nasib anggota parti serta rakyat supaya terus maju ke hadapan,” katanya hari ini.

Sementara itu, seorang lagi ahli MT Parti PBB merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam juga berkehendak anak-anak Sarawak harus berdiri tegus bersama GPS kerana kini dilihat parti-parti di dalam gabungan tersebut sahaja yang bersung-sungguh memperjuangkan hak serta pembangunan keperluan Bumi Kenyalang.

Beliau turut menyifatkan pelancaran logo GPS secara rasminya dan pelancaran GPS tidak lama lagi sebagai era baharu politik Sarawak yang lebih terbuka dan berani dalam mempertahankan hak-haknya di dalam Persekutuan Malaysia.

“Maka, seluruh rakyat di negeri ini harus memberi sokongan padu terhadap GPS dan pengerusi gabungan itu, Abang Johari.

“GPS menjadi parti tulen yang diterajui kepimpinan anak-anak Sarawak bagi membawa suara rakyat di negeri ini dalam politik Malaysia,” jelasnya.

GPS dianggotai empat parti komponen iaitu Parti PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang ditubuhkan selepas keempat-empat parti itu membuat keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lalu.