KUCHING: Seorang penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kuala Lumpur, Voon Cherng Jyh, 20, memenangi tempat pertama dalam peraduan mereka bentuk logo Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Voon, dari Batu 10 Kuching berkata logo ciptaannya diilhamkan daripada perkataan “Sarawak”.

“Bila saya dengar Sarawak, serta merta saya teringat burung kenyalang. Logo asal adalah seekor burung kenyalang yang melihat ke angkasa dengan rasa bangga sebagaimana kami berbangga dengan GPS sebagai anak Sarawak,” katanya ketika ditemui wartawan selepas majlis pelancaran logo dan lagu GPS di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini semalam.

“Ini adalah kali pertama saya memenangi peraduan mereka bentuk logo dan sebelum ini saya pernah menyertai lain-lain peraduan mereka bentuk logo.

Memenangi wang tunai RM10,000 sememangnya membantu saya dalam pengajian, keluarga dan juga sedikit untuk kebajikan,” kata Voon yang menjadikan mereka bentuk logo hobinya sejak tiga tahun lepas.

Sementara itu hadiah tempat kedua berupakan wang tunai RM5,000 menjadi milik Denna Ance Bunas sementara Noor Shizarin Isnin di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM3,000.

Lima hadiah sagu hati masing-masing RM1,000 dimenangi Brendan Goh Chuang Lung, Sahrein Maloh, Lee Ren Wei, Abdul Rahman Abdul Rahim dan Sharifah Ajauyah Wan Abdul Rahman.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS melancarkan logo dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis di ibu pejabat PBB itu.

PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) menubuhkan GPS sebagai wadah baharu politik di Sarawak setelah Kerajaan Barisan Nasional tumbang sebagai kerajaan pusat di dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Mei tahun lepas.–BERNAMA