Friday, August 19, 2022

GPS spesies terlindung, pelindung hak Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: “Umpama spesies terlindung”, begitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang baharu diperkenal logonya semalam dipertahankan di negeri ini.

Itu jaminan Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

Analogi itu perlu difahami secara mendasar, kerana ‘spesies terlindung’ itu amat berharga dan bernilai tinggi.

Dalam konteks Sarawak, ia mendukung maruah dan martabat negeri itu sendiri.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai alasan sendiri untuk berkata demikian, kerana parti yang mengandungi empat komponen ini adalah parti yang berjuang untuk ‘hak Sarawak’, dan membangunkan Sarawak.

“Kita tidak ambil harta orang. Kita pertahankan hak kita seperti yang dipersetujui.

“Malah kita meletakkan kepentingan Sarawak melangkaui segala-galanya,” tegas Ketua Menteri Sarawak itu dalam pertemuan dengan sarawakvoice.com baru-baru ini.

Parti ini memberi nafas baharu kepada Sarawak untuk bergerak lebih bebas, tanpa perlu memikirkan sentimen nasional, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing pula.

“GPS diwakili oleh parti yang cukup berpengalaman. Yang mampu membawa Sarawak sejauh ini, biarpun sebelum ini ‘kabur’ dari pandangan Kerajaan Persekutuan.

“Kita akan terus menyuarakan pandangan dan suara rakyat,” tambahnya lagi, dan ini termasuk menjuarai isu sensitif seperti Pemakai Menoa Pulau Galau dan tanah adat.

Katanya, keluarga GPS amat unik dan mesra, biarpun ada ketikanya berlaku pertembungan pendapat dan pertelingkahan pandangan.

“Kita inklusif dan eklusif. Pertembungan pandangan adan pendapat seperti ini diraikan demi memastikan GPS dan Sarawak utuh,” tambahnya lagi.

Bagi Datuk Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), rakyat perlu menilai dan menyokong kewujudan GPS sebagai entiti baharu.

“Tutup buku lama, buka buku baru. Bersikap adil kepada parti ini kerana dengan nafas baharu, jantung baharu, ia membawa ‘jiwa Sarawak’ yang baru.

“Ia parti yang unik kerana dapat mencapai perpaduan dan kesepakatan di sebalik kepelbagaian.

“Sekarang kita tidak tengok sahaja tetapi terlibat dalam pembangunan ekonomi dan industri di tanah air kita ini.

Bagi Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, GPS akan melihat keperluan rakyat di segenap peringkat baik di bandar mahupun luar bandar.

“Kita berjuang untuk menangani isu rakyat termasuk soal infrastruktur seperti air dan elektrik, meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendidikan, dan berusaha mewujudkan lebih besar peluang kerja untuk rakyat,” jelasnya lagi.

Yang pasti, GPS yang akan dilancarkan sepenuhnya pada 19 Januari depan, tarikh keramat yang unik — GPS:19012019 — dan akan menjadi wadah baharu untuk Sarawak.

Ia benar-benar suara Sarawak, roh Sarawak, dan pelindung hak Sarawak agar tidak lagi diperguna, diperalat pihak lain. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru