Pelancaran logo dan lagu Gabungan Parti Sarawak (GPS) oleh Pengerusi GPS merangkap Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg semalam menandakan bermulanya era baharu politik Sarawak yang berteraskan 100 peratus anak-anak Sarawak.

Mulai saat ini, rakyat Sarawak mempunyai kepimpinan baharu sesuai dengan mottonya, ‘Utamakan Sarawak’ seperti mana bait-bait lagu GPS yang dicipta Narawi Rashidi. Dalam lirik lagu ini, penulisnya menekankan bahawa GPS bersama rakyat Sarawak membina Sarawak yang gemilang dengan sokongan rakyat pelbagai kaum hidup harmoni dan hak Sarawak terus dipertahankan sampai bila-bila.

Pemimpin GPS perlu menerima hakikat bahawa politik Sarawak hari ini berbeza berbanding 55 tahun lalu ketika bersama Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang menerajui GPS perlu membuang perasaan selesa dan mula bekerja keras mendampingi hati rakyat selepas perubahan landskap politik pada 9 Mei 2018.

Seperti yang pernah disuarakan Pengerusi GPS sebelum ini, penubuhan gabungan parti politik berteraskan anak-anak tempatan Sarawak ini adalah untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Mengangkat motto ‘Utamakan Sarawak’, GPS menyeru sokongan rakyat Sarawak untuk terus bersama bersuara dalam mendapatkan kembali hak-hak yang terhakis selepas 55 tahun dinafikan haknya.

GPS tidak sesekali menggunakan pendekatan yang keras untuk mendapatkan kembali hak-hak Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan sebaliknya mengambil pendekatan berkrompomi dan bertolak ansur selagi ia dapat dilakukan demi memastikan hak-hak yang diperjuangkan ini diambil tindakan sewajarnya.

Dalam memastikan GPS relevan dalam masyarakat di peringkat akar umbi, pemimpin GPS harus berubah dengan kurang berprotokol bagi memudahkan rakyat mudah mendekati. Sudah tiba masanya perilaku lama semasa dalam BN dahulu dibuang dan kini bersama rakyat memperjuangkan hak dan terus mendampingi rakyat membangunkan negeri Sarawak tercinta ini.

Berdasarkan sokongan padu rakyat selepas pelancaran logo GPS semalam sama ada di peringkat akar umbi mahupun di media sosial, ia perlu dibayar dengan semangat berkobar-kobar pemimpin GPS untuk terus berbakti bersama rakyat untuk terus membangunkan Sarawak.

Kini, sudah tiba masanya rakyat menerima hakikat politik Sarawak selepas 12 Jun 2018 telah berubah demi kelangsungan masa depan politik dan rakyat Sarawak. Selama 6 bulan politik Sarawak menunggu kelulusan GPS dan semalam telah berlangsungnya pelancaran logo dan lagu GPS, kini rakyat Sarawak menunggu detik 19 Januari sebagai pelancaran rasmi GPS di peringkat negeri.

GPS sentiasa ‘Utamakan Sarawak’.

Dr Hazland Abang Hipni
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB Merangkap
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut