Tuesday, June 28, 2022

Gara-gara buat panggilan palsu, lelaki bakal hadapi tindakan polis

Secara Rawak

SIBU: Akibat membuat panggilan palsu, seorang lelaki bakal berhadapan dengan tindakan polis.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu, Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.07 pagi tadi yang mengatakan bahawa terdapat insiden kebakaran berlaku di bilik tingkat 3 bangunan Jalan Kampung Dato berhadapan Mahkamah Sibu.

“Sejurus menerima panggilan tersebut, sebuah FRT dengan kekuatan tujuh anggota diatur gerak menuju ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati tiada sebarang kebakaran yang berlaku dan pihak bomba bertindak mencari dan mengesan lokasi sekitar kawasan tersebut namun tiada menjumpai sebarang kebakaran sepertimana yang dilaporkan,”jelasnya.

Sehubungan itu, pihak PGO Sarawak telah menghubungi semula pemanggil yang dikenali sebagai Jerry Umping namun gagal mendapat kerjasama.

“Semasa menerima panggilan tersebut, beliau memaklumkan terdapat dua mangsa yang terperangkap dalam kebakaran berkenaan.

“Bagaimanapun, setelah gagal mendapatkan kerjasama daripada si pemanggil, panggilan tersebut diklasifikasikan sebagai panggilan palsu berniat jahat.

“Susulan daripada panggilan palsu tersebut, pihak BBP Sibu telah melaporkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru