ABUJA: Lebih 30,000 penduduk Nigeria terpaksa melarikan diri dari rumah masing-masing ekoran keganasan yang semakin memuncak di negara Afrika, demikian menurut penyelaras agensi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Edward Kallon.

Pegawai PBB menyuarakan “kebimbangan serius” dengan keadaan itu yang menyebabkan puluhan ribu orang awam tidak bersalah terpaksa melarikan diri dari rumah mereka.

Pertempuran di utara-timur Nigeria mencetuskan perpindahan besar-besaran, majoriti berkumpul di kem atau pusat penempatan menyebabkan berlaku kesesakan.

“Keadaan itu turut mencetuskan tragedi kemanusiaan,” kata Kallon selepas melawat kem di Monguno dan  Maiduguri.

Menurut agensi itu lagi, sejak beberapa minggu kebelakangan ini lebih 30,000 orang yang hilang tempat tinggal terutamanya dari Baga tiba di Maiduguri dan amat memerlukan bantuan kemanusiaan, makanan, air dan sanitasi.

Lebih menambahkan lagi krisis, apabila ramai pekerja bantuan kemanusiaan dipanggil balik sejak 2016.

Bermula November lalu, seramai 260 pekerja bantuan kemanusiaan diberhentikan dari tiga kawasan terjejas konflik iaitu Monguno, Kala /Balge dan Kukawa.

— BERNAMA-NNN-AGENCIES