Hari ini, Gabungan Parti Sarawak — GPS —  akan melancarkan secara rasmi logo dan lagu rasminya.

Ia dilakukan sempena mesyuarat rasmi pertamanya, selepas pendaftaran parti itu diluluskan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan pengenalan logo, selepas mempengerusikan mesyuarat sulung parti itu pagi ini.

Turut dilancar, rally Jelajah GPS yang akan bermula pada 11 hingga 19 Januari, bermula dari Lawas ke Kuching. Ia adalah “prelude” kepada pelancaran GPS yang akan berlangsung genap 10 hari mendatang.

GPS telah diluluskan pendaftarannya pada bulan lalu, setelah permohonan dilakukan beberapa bulan sebelumnya.

Terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun  Sr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas keterbukaan dan profesionalisme, meluluskan pendaftaran bersejarah parti ini, selepas pengunduran empat parti komponen terlibat daripada gabungan Barisan Nasional (BN).

Terima kasih juga kepada parti BN Pusat kerana “berlapang dada” kepada tindakan pasca Pilihan Raya Umum 2018 ini, setelah menyedari bahawa Sarawak perlu “mesra” Kerajaan Persekutuan biar dari blok mana pun yang memerintah. Dalam konteks ini GPS “mesra” Pakatan Harapan, dan bukan “menyertai” parti itu.

Bukan mudah untuk GPS bergerak ke hadapan, setelah menyarung baju BN sejak 1974. Namun langkah pertama diperlukan, sesuai dengan perubahan besar dalam landskap politik nasional.

Rakyat perlu sedar bahawa GPS bukan BN2.0 kerana pendekatan dan aspirasinya jauh berbeza.

Tanpa berkiblatkan pimpinan Semenanjung, GPS lebih kepada “local centric” atau berjiwa tempatan.

Masih banyak yang perlu diperjuang di peringkat negeri Sarawak, terutama yang menyentuh infrastruktur, pendidikan, ekonomi malah hak Sarawak tersendiri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 mahupun persefahaman yang terbentuk dalam Mesyuarat Antara Kerajaan pada prapembentukan Malaysia.

Dalam keadaan hak Sarawak semakin dinafikan ketika ini, terutama pembatalan projek pembangunan yang diluluskan, hingga kepada pemotongan bajet sekolah daif dan penyelenggaraan jalan, kegagalan menyerah kembali ‘hak’ cukai pelancongan serta cabaran melangsaikan hutang berjadual Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan untuk dana pembangunan (atas dakwaan rizab Sarawak banyak), rakyat Sarawak perlu bangkit dan sedar.

Seperti kata Allahyarham mantan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem: ” Hanya orang Sarawak yang dapat bela orang Sarawak, yang dapat dan tauk membangunkan Sarawak. Orang lain … jauh pak awi.”

Kerana itu GPS adalah perlu. Ia adalah suara, adalah jiwa, adalah roh rakyat Sarawak itu sendiri. Seluruh rakyat negeri ini harus bersatu memberikan sokongan padu kepada parti baharu ini.

Tutup buku lama, buka buku baharu. Tiada yang sama di antara kerajaan baharu ini dengan kerajaan yang lama, kerana kerajaan Sarawak hari ini, lebih bebas, lebih terbuka dan lebih merakyat.

Selamat maju jaya GPS. Utamakan Sarawak. — Sarawakvoice