TANGGAL 7 Januari Tun Dr Mahathir Mohamad ke Terengganu bagi menghadiri beberapa siri lawatan dan pertemuan di sana. Turut serta merai kehadiran PM adalah Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub serta pemimpin setempat.

Di Terengganu majoriti pengundinya Melayu dan hari ini PAS menjadi penerajunya buat kali ketiga berselang seli.

Di sinilah dahulunya politik bergolak dan hingga dapat dimatri hendaknya dalam sejarah moden Melayu pertelingkahan Umno merebut kuasa menjadi MB sezaman Dato’ Seri Ahmad Said menggantikan Dato’ Seri Idris Jusoh. Kemudian ia bergolak kembali selepas Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menerajui negeri pula.

Di sini Tun Mahathir pada 7 Januari melontarkan sedikit pandangan dan peluru buat kaum Melayu di mana dalam ucapannya jelas mengakui bahawa DAP menguasai negara hari ini, dari pelantikannya hingga kepada ehwal pelantikan kabinet dan selainnya.

“Saya tahu ada pendapat mengatakan DAP itu parti musuh, tetapi saya nak bagi tahu bahawa yang tentukan saya akan jadi pengerusi Pakatan Harapan dan bakal Perdana Menteri jikalau (pembangkang) menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, adalah DAP?

“Mereka (DAP) yang tentukan siapa pemimpin, siapa yang akan pegang jawatan tertentu selepas berjaya ambil alih kerajaan. Semuanya ini datang dari DAP. Jadi, kalau orang kata (DAP) musuh, kenapa (pengundi) pilih saya?” kata Mahathir semasa merasmikan Pejabat baharu PPBM di Kuala Terengganu.

Walaupun PM cuba bermain kata dengan menambah kononnya ia bagi menjatuhkan BN yang menguasai kerajaan terdahulu, namun apa yang tersirat dalam bait kata Tun Mahathir menampakkan satu ‘signal cemas’ bekas Presiden Umno itu akan kebijajahan DAP hari ini dalam ehwal semasa negara.

Ironinya, ucapan itu dibuat di Terengganu yang mana PAS dan Umno sama kuat di negeri itu, tatkala ramai pimpinan Umno berhijrah masuk ke PPBM yang dikepalai Mahathir.

Sama ada ia satu yang ikhlas atau sebaliknya berstrategi, perkembangan terkini penghijrahan ke PPBM memperlihatkan ketidaksenangan DAP dan kelompok dalaman PKR yang bersama mereka ini, dan mungkin sekali DAP melihat bahawa ini usaha memperkuat barisan MP Melayu dalam PH oleh Mahathir.

Desakan dan ugutan oleh pemimpin ternama DAP ke atas tindakan Mahathir ini dapat dilihat sejak akhir tahun lalu di mana penasihat DAP, Lim Kit Siang ada menyebut mengenai hasrat DAP keluar PH walaupun ia mungkin ‘amaran malu-malu kucing’ oleh veteran DAP itu, tetapi kenyataan dan faktanya sebelum ini, dalam kerjasama dengan Pakatan Rakyat, DAP lah yang keluar dahulu selepas beberapa kali membuat ugutan kepada PAS.

Cuma situasi kali ini berbeza apabila DAP duduk dalam kerajaan pusat menerajui negara, maka mestinya pertimbangan kuasa politik dan ghanimah atas pemerintahan menjadi keutamaan, begitu juga pemimpin PKR yang menuruti kumpulan pro DAP.

Pastinya pemimpin dan penganalisis politik hari ini akan memerhati lebih dekat move dan signal PM dalam uacapan terkini beliau di Terengganu ini dan melihatnya ia sebagai satu langkah yang sedang disusun.

DAP pula tidak akan melihatnya sebagai satu pujian, sebaliknya sebagai satu signal “merah” tanda berjaga-jaga sebarang kemungkinan yang boleh terjadi.

PH sedang bergolak, kartel-kartel sedang memain peranan mengemudi blok sokongan, perpecahan dari dalam sedang berlaku. Adegan kerat, cantas dan pembunuhan karekter juga sedang berlaku.

Makin menarik gelanggang politik hari ini untuk dinikmati tontonannya sambil mengunyah snek ‘pop corn’.