Sunday, November 27, 2022

GPS wadah perjuangkan hak Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini telah memperkenalkan logo baharu bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diadakan di Ibu Pejabat PBB.

Penubuhan GPS telah diumumkan pada 12 Jun 2018 dan pendaftarannya telah diluluskan pada November lalu.

Menurut Ketua Pergerakan Wanita PBB, Datuk Sri Fatimah Abdullah, dengan adanya pengenalan hala tuju serta logo GPS ini sudah pasti akan menguatkan lagi jentera-jentera parti kita untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Simbol burung Kenyalang yang telah dipilih ini mempunyai identiti tersendiri pada setiap jenis warna dan kita berjuang secara satu pasukan yang mantap dalam GPS.

“Di samping itu juga, kita akan turun padang untuk bersama-sama memperkenalkan logo GPS kepada rakyat Sarawak dalam masa yang terdekat supaya rakyat Sarawak tahu apa simbol baru GPS,”ujarnya.

Terdapat tiga warna yang ada pada simbol Burung Kenyalang tersebut iaitu warna hitam bermaksud tunjang kekuatan gabungan dalam menjunjung dan memenuhi objektif penubuhan manakala warna merah mencerminkan kedaulatan perlembagaan.

Selain itu, warna putih adalah lambang keadilan dan kesaksamaan serta kedaulatan undang-undang.

Konsep bagi logo ini adalah rekaanya berbentuk huruf ‘S’ yang mencerminkan bentuk Burung Kenyalang yang melambangkan negeri Sarawak.

Kata Fatimah, apa yang penting ialah perjuangan GPS dalam memastikan hak Sarawak di bawah Perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak dapat dipertahankan.

“Senario dalam politik kita sudah berubah jadi kita perlu meneruskan perjuangan yang telah kita mulakan dari awal dulu demi untuk mensejahterakan serta memajukan negeri Sarawak dengan cara kita sendiri,”jelasnya.

Mesyuarat pertama Majlis Tertinggi Wanita PBB (MTW) akan diadakan pada 19 Januari hadapan dengan memfokuskan aktiviti MPW yang mana salah satunya ialah mewar-warkan kepada rakyat hala tuju serta misi dan visi GPS. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru