KUCHING: Ketua Cawangan MPV Ibu Pejabat Daerah Padawan (IPD), Inspektor Heli John Ngimat, semalam telah mengetuai Rondaan Cegah Jenayah bersama 11 anggota polis IPD Padawan yang terdiri daripada cawangan kereta peronda, hal ehwal awam dan Unit Rondaan Bermotosikal di sekitar Kampung Semeba.

Turut menyertai rondaan tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Balai Kota Sentosa, Suhaimi Mohamad Suib bersama tiga anggota dan tujuh ahli Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Semeba yang diketuai oleh Ketua Kampung Semeba, Josak Siam.

Menurut Mohamad Faizal dari Cawangan Hal Ehwal Awam IPD Padawan, program Rondaan Cegah Jenayah PRDM bersama ahli komuniti khususnya Kampung Semeba telah kerap kali diadakan dalam usaha mencegah jenayah bersama-sama PDRM dan ahli komuniti.

“KRT dan SRS Kampung Semeba merupakan antara ahli komuniti dalam pentadbiran Polis IPD Padawan yang aktif dan konsisten dalam melaksanakan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang dikendalikan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Kuching.

“Sewajarnya, setiap kampung, taman perumahan atau mana-mana kelompok komuniti mempunyai inisiatif untuk mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) atau menubuhkan Persatuan Kepolisan Komuniti sebagai usaha membantu pihak polis mencegah jenayah di peringkat komuniti masing-masing,”ujarnya.

Rondaan berakhir sekitar jam 1.00 pagi dan sepanjang tempoh rondaan tersebut berlangsung tiada sebarang tangkapan dan rampasan dilakukan. — Sarawakvoice