Di pentas dunia, awal tahun 2019, rakyat Malaysia dikejutkan dengan perletakan jawatan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Ini kali pertama YDPA meletak jawatan dalam sejarah Malaysia.

Sebab-musabab perletakan baginda sebagai YDPA hanya baginda yang yang mengetahui sebabnya. Tuntasnya, berita ini antara yang mewarnai awal tahun 2019 di Malaysia.

Justeru itu, bagi negeri Sarawak Bumi Kenyalang, setelah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sah didaftarkan pada tahun lepas, pelancaran parti ini sudah pasti akan mengambil tempat dalam kalendar politik Sarawak pada tahun ini.

GPS akan dilancarkan di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada malam 19 Januari 2019.
GPS yang terdiri daripada empat komponen parti tempatan di Sarawak — PBB, PRS, SUPP dan PDP telah bergabung membentuk satu entiti politik setelah BN tumbang semasa PRU 14 lepas.

Pelancaran GPS perlu dilakukan awal untuk memastikan cukup masa dan ruang untuk komponen parti memasarkan logo atau pun semua perihal berkaitan parti ke seluruh pelosok Sarawak.

GPS yang merupakan kerajaan negeri Sarawak dan pembangkang di peringkat persekutuan sudah pasti akan berusaha gigih bagi memastikan terus memerintah negeri Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke – 12 nanti.

Melihat senario politik sekarang, GPS masih kelihatan sebagai sebuah parti pilihan rakyat Sarawak pada PRN ke – 12 nanti.

Setakat ini, tiada usaha yang nyata dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memenangi hati penduduk di Sarawak.

GPS kelihatan lebih agresif dalam merencanakan strategi untuk memastikan mereka terus kekal memerintah setelah PRN ke – 12 diadakan nanti.

Setakat ini, PH masih lagi dibuai mimpi indah setelah berkuasa. Tiada usaha yang boleh dibanggakan dalam menyantuni rakyat Sarawak.

Sekiranya menunggu masa PRN baru nak bertindak, itu hanya mainan serta janji-janji semasa pilihan raya sahaja. Yakni, sekarang pun masih banyak lagi janji-janji manis PH semasa PRU-14 lepas belum ditunaikan.

Jangan mengatakan rakyat perlu menunggu 50 tahun lagi untuk menyaksikan janji-janji dapat ditunaikan.

Sekiranya berlaku, kerajaan PH ini lebih kurang juga dengan kerajaan BN dahulu. Rakyat hanya dijadikan landasan untuk merebut kuasa dan terus berkuasa dalam politik.

Para pemimpin harus cakna kepada permasalahan yang dihadapi rakyat bukan hanya tiba pilihan raya baru mendampingi rakyat.

Persoalannya, adakah PH dapat menyaingi GPS dalam tahun 2019 ini dalam perihal menyantuni rakyat Sarawak? Sejauh manakah GPS dapat menyemai kepercayaan rakyat Sarawak untuk terus menyokong mereka?

Persoalan ini amat praktikal untuk dirungkai sepanjang tahun 2019 ini.

Realitinya, dalam tahun 2019 ini, selepas pelancarannya, GPS akan terus menyusun strategi untuk memasarkan jenama serta perihal parti itu terutama ke kawasan luar bandar di Sarawak.
Pengenalan logo parti amat penting kerana logo parti bakal terpapar pada kertas undi.

Ini pasti mengambil masa untuk rakyat menerima serta memahami logo mana-mana parti baharu kerana selama ini mereka sudah biasa dengan logo dacing BN.

Mutakhir ini, GPS dilihat banyak berjuang berlandaskan hak Sarawak dalam Malaysia iaitu menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Apa yang dapat dilihat, sekiranya puisi serta gurindam MA63 terus didendangkan ia boleh memakan diri.

Sepatutnya, GPS lebih cakna kepada permasalahan rakyat Sarawak terutama di luar bandar yang kini terus dihimpit masalah kejatuhan harga komoditi yang tiada usaha nyata daripada pihak kerajaan sama ada kerajaan negeri atau persekutuan untuk menyelesaikan masalah ini.

Persoalannya, adakah isu berkaitan MA63 lebih dominan serta diterima oleh rakyat Sarawak di luar bandar berbanding dengan isu yang menghimpit mereka seperti kejatuhan harga komoditi?

Adakah isu yang dekat di hati rakyat Sarawak?

Untuk mengetahui tentang isu ini, GPS perlu melakukan kajian di pelosok negeri Sarawak bagi mengenal pasti isu-isu yang dekat di hati rakyat Sarawak terutama di kawasan luar bandar.

Satu kajian yang komprehensif perlu dilakukan untuk memastikan strategi yang tepat dalam menempuh PRN ke – 12 nanti. Hal ini kerana, penduduk di luar bandar merupakan bakal pengundi yang boleh menentukan kemenangan sesebuah parti politik pada PRN ke – 12 nanti.

Namun begitu, sehingga ke hari ini, GPS dilihat lebih gah berbanding PH di Sarawak dalam menyantuni rakyat Sarawak.

Apa yang pasti, pada tahun 2019 ini, politik Sarawak akan lebih meriah dengan persediaan parti-parti politik yang bakal bertarung pada PRN ke-12 yang bakal diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2021.

Penulis merupakan penganalisis politik yang fokus kepada politik kaum Iban di luar bandar serta pensyarah dalam bidang politik di UNIMAS.