Sunday, November 27, 2022

Pemangku TYT Asfia: Perpaduan begitu penting

Secara Rawak

KUCHING: Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar bersama-sama isteri Datin Amar Fatimah Iskandar hari ini telah menyampaikan sumbangan kepada setiap jawatankuasa surau dan masjid bagi kawasan N6 Tupong.

Menurut Asfia dalam ucapannya, perpaduan adalah paling utama bagi sesuatu negara di dunia.

“Tanpa perpaduan tidak ada kestabilan politik kalau tidak ada kestabilan politik tidak ada kemajuan ekonomi, pembangunan dan kemakmuran.

“Apabila satu negara di dunia itu ada rusuhan, kacau bilau orang yang membuat pelaburan di negara itu mula membawa wang ringgit mereka keluar hingga menyebabkan turunnya harga nilai wang ringgit di satu-satu negara sekaligus rakyat di negara tersebut
merasa tertekan kerana harga barang-barang naik,”jelasnya.

Kata Asfia, bukan harga barang naik akan tetapi nilai wang itu menurun kerana disebabkan perpecahan dalam negara tersebut selain para pemimpin tidak pandai menjaga negeri dan negara.

“Sebagai contoh, lihat sahaja negara Brunei Darussalam yang mempunyai keluasan 2,227 persegi akan tetapi nilai wangnya lebih tiga kali ganda banyak daripada wang kita.

“Negara Singapura yang begitu kecil sekali tetapi wang nilainya begitu tinggi sekali hingga orang Singapura dapat membeli harta, rumah dan tanah di Johor dan rakyat Brunei dapat membeli rumah dan membeli harta, barang-barang di Sabah dan Miri.

“Oleh kerana perpaduan begitu penting sekali, kita hendaklah berpegang dengan ayat Al-quran,”ujarnya.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan sebanyak sembilan masjid di kawasan N6 Tupong telah menerima sumbangan masing-masing berjumlah RM10,000.

Manakala, sebanyak 33 surau masing-masing menerima RM3,000 untuk mereka menjalankan pelbagai aktiviti mahu pun membaik pulih surau atau masjid masing-masing.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N6 Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Sri Fadillah Yusof. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru