Sunday, November 27, 2022

Fadillah: Kuasai teknologi digital

Secara Rawak

KUCHING: Perkembangan teknologi yang pesat pada masa kini menjadi cabaran kepada kita apabila terdapat maklumat mahupun berita yang tidak benar disebar melalui media sosial.

Oleh itu, masyarakat diminta untuk menguasai teknologi pada masa kini demi memanfaatkannya ke arah syiar Islam.

Itu yang disarankan oleh Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Sri Fadillah Yusof dalam ucapannya semasa menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan kepada surau dan masjid bahagian N6 Tupong, hari ini.

Menurut Fadillah, penting untuk kita menguasai teknologi digital seperti yang ditekankan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg supaya dapat membantu menyebarluaskan agama untuk diselami dan didalami oleh umat Islam di seluruh dunia.

“Kalau kita lihat di dalam akhbar, berbagai macam berita yang kita dengar antaranya ialah pengaruh dadah yang semakin tersebar luas di kawasan Petra Jaya dan majoritinya adalah orang Islam.

“Begitu juga dengan peningkatan kelahiran anak luar nikah.

“Sarawak berada pada kedudukan tertinggi dalam gejala penyalahgunaan dadah dan kelahiran luar nikah,”ujarnya.

Ini katanya, juga menjadi cabaran kepada kita bagaimana kita hendak menangani masalah-masalah sosial seperti ini.

Justeru, saya meminta Pengerusi jawatankuasa surau dan masjid untuk bersama-sama berbincang bagaimana hendak mengajak umat Islam supaya memakmurkan ilmu-ilmu Allah dengan mengadakan pelbagai aktiviti bagi membolehkan semua golongan untuk bersama-sama turut serta.

“Kalau kita nak lihat kekuatan umat Islam ialah bagaimana kita nak memenuhkan masjid dan surau pada waktu subuh.

“Kalau kita tidak dapat bangun untuk menunaikan solat subuh bersama-sama di masjid atau surau maknanya kita umat yang lemah kerana kita kalah dengan selimut yang ringan itu.

“Jika kita dapat ikut berjemaah subuh di masjid insyallah umat Islam akan berkembang,”jelasnya.

Tegasnya, beliau meminta masyarakat untuk merenung sedalam-dalamnya perkembagan terkini politik dalam negara dan bagaimana ianya dapat meletakkan kedudukan orang Islam khususnya di negeri Sarawak supaya dapat bersaing dalam keadaan yang lebih mencabar pada masa akan datang sekaligus meletakkan agama Islam sebagaimana terkandung dalam Al-Quran. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru