Sunday, November 27, 2022

Abang Johari lawat rumah pelawak terkenal, mangsa kebakaran

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Datin Patinggi Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang hari ini telah meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Kampung Semerah Padi.

Mangsa kebakaran, Datuk Yetni Adenan yang juga merupakan pelawak dan pelakon telah terlibat dalam satu insiden kebakaran pada 24 Disember lalu.

Menurut Abang Johari, tujuan lawatan beliau pada hari ini adalah untuk melihat sendiri keadaan rumah mangsa sekaligus membantu menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada beliau kerana beliau telah banyak menyumbang kepada negeri Sarawak.

“Datuk telah banyak menyumbangkan tenaganya kepada negeri kita termasuklah jiran sekampung (segmen siaran RTM) banyak sumbangannya jadi kita rasa agak sedih juga kerana beliau menghadapi masalah kebakaran rumahnya.

“Oleh itu, kami wakil rakyat (Fadilah dan Sharifah Hasidah) turun padang dan menghulurkan bantuan kepada mangsa bagi menbaiki kediaman beliau yang rosak dalam kebakaran tersebut,”ujarnya.

Jelasnya, antara bantuan yang turut diberikan kepada mangsa adalah membina rumah di tapak yang sama.

Dalam lawatan tersebut, Abang Johari juga menyampaikan sumbangan peribadi daripada beliau dan isteri serta sumbangan daripada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI) yang diwakili oleh isteri Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar, Datin Siti Shorgayah Mohd Zaidin.

Sementara itu, Menurut Yetni, ketika kebakaran berlaku beliau sedang menunaikan solat isyak di biliknya sebelum ditarik keluar oleh seorang cucunya dan mengatakan bahawa rumah mereka terbakar.

Jelasnya, kebakaran yang berlaku itu menyebabkan bahagian dapur, belakang, bilik hadapan dan juga bilik air musnah.

“Kebakaran pertama berlaku sekitar jam 9.00 malam manakala kebakaran kedua berlaku pada jam 2.00 pagi.

“Punca kebakaran adalah disebabkan litar pada peti sejuk,”katanya.

Beliau juga menzahirkan rasa terima kasih kepada Ketua Menteri serta rombongannya yang sudi membantu untuk membaik pulih rumahnya dan memberikan sumbangan kepada mereka sekeluarga.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Sri Fadillah Yusof dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Unddang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru