Monday, November 28, 2022

Lelaki muda di Sibu terjun ke sungai, terkapai-kapai sebelum tenggelam dihanyut arus

Secara Rawak

SIBU: Seorang lelaki berusia 20-an dipercayai terjun ke dalam sungai di jeti expres Sibu tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 12.29 tengah hari tadi daripada seorang saksi di tempat kejadian.

“Menurut saksi yang telah membuat panggilan ke Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, seorang lelaki menggunakan baju dan seluar track warna hitam telah berdiri di belakang sebuah bot expres yang tertambat dan terus terjun ke dalam sungai.

“Mangsa dikatakan terkapai-kapai sebelum tenggelam dihanyutkan oleh arus sungai,”ujarnya.

Pihak bomba telah menghantar enam anggota yang diketuai Komander Operasi, Muhammad Jusoh di tempat kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Turut membantu dua anggota polis, empat anggota pertahanan awam dan empat kakitangan lembaga sungai-sungai sarawak.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba telah membuat pencarian awal ditebing sungai dengan teknik “water surface searching” di sekitar lokasi di mana mangsa dikatakan terjun.

“Selain itu, pihak bomba juga menggunakan bot bagi menyusuri sungai menghala ke hilir sungai dalam radius pencarian sekitar 2 kilometer,”jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, operasi ditangguhkan pada jam 4.30 petang akibat hujan lebat.

Sehingga berita ini ditulis mangsa masih gagal dijumpai. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru