Tuesday, June 28, 2022

Setengah badan UPP dalam GPS, usah sangsi — Abdul Karim

Secara Rawak

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu (UPP) tidak seharusnya sangsi akan kedudukan mereka dalam komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam pertemuan khas dengan Sarawakvoice.com memberitahu, biarpun UPP bukan komponen asas yang membentuk UPP, parti itu sebenarnya telah mempunyai wakil dalam Kerajaan GPS.

“Dengan Presiden UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh dilantik portfolio kanan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang dan timbalannya, Datuk Dr Jerip Susil sebagai Menteri Muda Pengangkutan, ia menandakan sebelah kaki parti itu sudah ada dalam GPS.

“Justeru tidak perlu untuk parti ini berebut kerusi ataupun memikirkan mereka bukan berada dalam lingkungan GPS.

“Yang penting sekarang adalah bekerja sebagai satu pasukan, satu keluarga dan meneruskan kepimpinan GPS selepas Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya lagi.

UPP merupakan serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang ketika itu berhadapan perpecahan yang teruk.

Akibat perpecahan tersebut, calon-calon UPP terpaksa bertanding sebagai ‘calon langsung BN’ dalam PRN11, dan hasilnya, berjaya membantu Barisan Nasional Sarawak ketika itu menang di 72 kerusi daripada 82 yang ditandingi.

UPP kini sedang dalam proses pindaan nama parti, dengan nama baharu yang dipersetujui Mesyuarat Agungnya ialah Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Abdul Karim berpesan, demi memastikan kemenangan GPS, sewajarnya UPP memikirkan dan mencari ‘calon boleh menang’ yang bakal ditampilkan, dan bukannya memikirkan ehwal perebutan kerusi dengan SUPP.

Beliau juga merayu agar isu parti dalam GPS ditangani secara musyawarah dalam parti komponen dan bukannya diheret kepada pengetahuan media. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru