Tuesday, June 28, 2022

Kajian semula pemberian khas kepada Sarawak, Sabah perlu dibincangkan

Secara Rawak

KUCHING: Selepas perbincangan pertama Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Kerajaan Negeri Sarawak menyokong cadangan pindaan perlembagaan dalam Perkara 1(2) mengenai tiga wilayah dalam pembentukan Malaysia.

Perkara itu didedahkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Menurut Abang Johari, antara perkara yang tidak boleh dirunding ialah kuasa otonomi imigresen, hak untuk menguatkuasakan undang-undang negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlindungan sempandan negeri dan kedaulatan atas dasar laut, bawah tanah dan hasil-hasilnya di dalam sempadan negeri.

“Di samping itu, isu-isu lain yang perlu dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas tersebut ialah keperluan kajian semula pemberian khas kepada negeri Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, hal kepada sumber kewangan tambahan di bawah jadual kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, kuasa bagi perundangan (residual power) di bawah Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, tanah negeri yang tidak diperlukan lagi oleh Kerajaan Persekutuan iaitu yang terletak di bawah Federal Land Commission hendaklah dikembalikan semula kepada Sarawak dan pelaksanaan kuasa Persekutuan berkaitan pendidikan, perubatan dan kesihatan yang kurang memuaskan,”jelasnya.

Sementara itu, rundingan Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengenai isu minyak dan gas akan diteruskan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata isu berkenaan telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 pada 17 Disember lalu yang telah dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Sri Mohamed Azmin Ali.

“Menteri kewangan telah menyampaikan pandangan bahawa cukai jualan ke atas petroleum adalah tidak wajar.

“Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa ini adalah hak Sarawak dan ianya dilaksanakan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 95C dan Jadual Kesepuluh.

“Sarawak juga berpandangan bahawa ianya hendaklah mengambil kira cukai petroleum Kerajaan Persekutuan (PITA) yang dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan,”ujarnya.

Mengulas lanjut tegasnya, Jawatankuasa Kabinet Khas diberikan tempoh selama enam bulan bagi mendapatkan laporan penuh dan jalan penyelesaian bagi isu-isu yang dikemukakan di dalam Jawatankuasa tersebut.

Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja akan mula membincangkan perkara-perkara terbabit bermula Januari 2019 manakala mesyuarat seterusnya bagi Jawatankuasa Kabinet dijangka akan diadakan pada bulan Februari dan April 2019. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru