KUCHING: Perlu bagi semua majikan di Sarawak mematuhi Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 berkuat kuasa semalam, 1 Januari 2019.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak Awang Raduan Awang Omar berkata, perintah baharu tersebut memperuntukkan kadar gaji minimum yang RM1,100 sebulan, seragam bagi seluruh negara termasuk Sarawak dan Sabah.

Sementara, pekerja harian dibayar RM5.29 sejam.

Awang Raduan mengingatkan majikan bahawa tidak membayar gaji minimum merupakan kesalahan dan majikan boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap pekerja.

Pada sidang media di ibu pejabat JTK Sarawak, Awang Raduan berkata, mahkamah boleh memerintah agar majikan membayar perbezaan antara kadar gaji minimum dengan gaji pokok yang diterima pekerja.

Awang Raduan dalam kenyataannya berkata, perintah gaji minimum itu terpakai bagi pekerja asing memiliki Lesen Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin yang dikeluarkan JTK Sarawak.

Setakat September 2018, terdapat lebih 139,000 pekerja asing memiliki lesen berkenaan di Sarawak.

Laporan sebelum ini menyebut sepanjang Januari-Julai 2018, sebanyak 135 majikan didapati tidak membayar gaji minimum kepada pekerja.

Sementara, sepanjang 2017 seramai 221 majikan turut melakukan kesalahan sama. –Sarawakvoice