Monday, June 27, 2022

KPDNHEP Sarawak nafi Kapit terputus bekalan minyak

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak menafikan terputusnya bekalan minyak di Kapit seperti yang ditular dan disiarkan di mula hadapan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Timbalan Pengarahnya, Mohamad Nawawi Abdul Rahman menjelaskan, Kapit mempunyai dua stesen minyak iaitu Petronas dan sebuah stesen tanpa jenama.

“Sebenarnya tidak terputus.

“Di sana ada dua stesen minyak dan harga minyak di stesen tanpa jenama itu dijual mahal RM0.10 setiap liter bagi RON95.

“Sebaliknya, harga minyak di Petronas adalah seperti biasa.

“Justeru pengguna sudah pasti akan memilih harga yang jauh lebih murah hingga petrol yang dijual di stesen Petronas tidak dapat menampung permintaan pengguna.

Keadaan lebih buruk apabila bekalan petrol tambahan lambat dihantar berikutan masalah pengangkutan di kawasan tersebut, ujarnya.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan pemeriksaan di salah sebuah stesen minyak di Kuching-Kota Samarahan, di sini, hari ini.

Katanya, memang wujud stesen minyak yang berhadapan kekurangan bekalan, tetapi ia dapat ditangani dengan segera.

“Sebenarnya, pengguna dapat membuat pilihan untuk mengguna petrol dari stesen tanpa jenama kerana bekalan hanya terputus sekejap.

“Sekiranya keadaan jalan raya dah sempurna, saya rasa masalah di Kapit ini akan selesai,”jelasnya.

Terdahulu, sebanyak 392 pemeriksaan telah dilakukan ke atas 235 stesen minyak di seluruh Sarawak sejak 27 Disember 2018 sehingga 1 Januari 2019 berhubung dengan keputusan kerajaan untuk mengkaji semula kedudukan harga runcit berdasarkan harga semasa dunia.

“Seramai 202 pegawai penguat kuasa telah dihantar bagi membuat pemeriksaan tersebut.

“Hal ini untuk memastikan bahawa tidak ada stok yang berkurangan atau tidak sampai, atau mempunyai masalah teknikal hingga menyebabkan pengguna tidak mendapat bekalan di pasaran.

Katanya, salah satu syarat dalam lesen ialah peruncit perlu memastikan bekalan mencukupi sepanjang masa dan ini terkandung di bawah Akta Kawalan Harga 1961.

Terdapat tiga akta yang boleh mengawal seliaan minyak iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Perihal Dagangan 2011. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru