Tahun 2019 ini sudah pasti akan menyaksikan perkara berkaitan tanah akan terus mewarnai politik Sarawak. Sejarah pilihan raya negeri (PRN) Sarawak tidak pernah lekang dengan isu membabitkan tanah. Sebanyak sebelas PRN Sarawak sebelum ini majoriti isu yang diketengahkan adalah berkaitan dengan isu tanah.

Persoalannya, setelah pindaan dilakukan ke atas Kanun Tanah Sarawak (SLC) 2018 yang masih dianggap menindas golongan pemilik Tanah Adat di Sarawak, adakah pada PRN ke – 12 nanti isu ini akan mendominasi pentas politik Sarawak?

Kini, isu tanah ini merupakan duri dalam daging kepada kerajaan terutama dalam kalangan pemimpin Dayak dalam GPS. Setelah pindaan dilakukan rata-rata rakyat Sarawak terutama kaum Dayak atau lebih spesifik kaum Iban tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan. Bagi mereka, hak terhadap tanah yang dimiliki turun-temurun dari nenek moyang mereka sudah terancam dengan pindaan terhadap SLC 2018 tersebut.

Tambahan, kini rakyat di luar bandar terutama kaum Iban kian sedar berkenaan dengan hak mereka terhadap tanah NCR yang diwarisi turun-temurun. Harapan yang diberikan kepada para pemimpin Dayak dalam kerajaan tidak berbaloi apabila permintaan supaya tanah NCR diberikan hak milik kepada pemilik tidak dilakukan. Apa yang yang didendangkan oleh para pemimpin Dayak adalah berkenaan perimeter survey tanah NCR melalui Seksyen 6 SLC yang ternyata tidak memberi kelebihan kepada pemilik asal tanah tersebut.

Justeru, sekiranya para pemimpin Dayak betul-betul berjuang mempertahankan hak kaum Dayak di luar bandar terutama kaum Iban, mereka sepatutnya memastikan perimeter survey yang dilakukan harus melalui Seksyen 18 SLC yang mengiktiraf hak milik tanah tersebut. Tapi apa yang berlaku, perkara ini banyak dipolitikan demi survival politik masing-masing.

Gambar perhiasan

Persoalannya, adakah nanti pada PRN ke – 12 perkara ini bakal memberi kesan kepada majoriti penyandang kerusi dewan undangan negeri (DUN) dalam kalangan Dayak untuk mempertahankan kerusi tersebut? Sejauhmanakah isu ini dapat memberi kesan kepada penerimaan rakyat terhadap para pemimpin Dayak dalam kerajaan sekarang?

Ironinya, isu berkaitan tanah ini akan menjadi duri dalam daging bagi pemimpin Dayak terutama dalam kerajaan GPS. Keikhlasan serta iltizam politik yang tinggi amat dituntut untuk membela komuniti Dayak terutama kaum Iban dalam perihal tanah ini. Jangan hanya masa tiba pilihan raya sahaja berjanji dan selepas selesai pilihan raya, janji hanya tinggal janji sahaja.

Menuju PRN ke – 12 kerajaan GPS sekarang banyak bercakap berkenaan dengan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ya, usaha ini memang disokong oleh rakyat Sarawak. Namun, persoalannya, kenapa baharu sekarang beriya-iya sangat memperjuangkan isu ini? Kenapa tidak dari dahulu semasa masih seperahu dengan kerajaan persekutuan UMNO-BN merungkai perkara MA63 ini?

Realitinya, kerajaan negeri sekarang harus fokus kepada permasalahan rakyat bawahan, tidak terlalu menjaja puisi hak Sarawak dalam MA63 yang akhirnya boleh memakan diri sendiri. Isu tanah NCR ini harus diutamakan sekiranya betul-betul memperjuangkan hak rakyat. Bantu rakyat dibawah yang kini tenat dengan kejatuhan harga tanaman komoditi seperti kelapa sawit, lada hitam dan getah.

Bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan komoditi ini yang membelenggu rakyat di luar bandar terutama golongan petani atau pengusaha kecil tanaman komoditi ini. Sekiranya tiada kerjasama daripada kerajaan pusat, kerajaan negeri harus berani tampil kehadapan dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat ini.

Pemimpin Dayak harus berani bersuara mengetengahkan perkara berkaitan tanah serta hasil daripada tanah ini sekiranya ingin terus duduk dikerusi empuk DUN Sarawak selepas PRN ke -12 nanti. Ini kerana, majoriti rakyat yang tinggal di luar bandar adalah kaum Dayak. Cukup-cukuplah berjanji bulan dan bintang kepada rakyat namun janji tidak pernah ditunaikan.

Jangan beri harapan menggunung kepada rakyat demi survival politik peribadi. Ingat, anda berada disana atas sokongan dan dukungan rakyat. Apa yang pasti, komuniti Dayak di Sarawak amat berharap agar semua pemimpin Dayak tidak kira fahaman politik terus ikhlas membela nasib mereka. –Sarawakvoice

Penulis merupakan penganalisis politik yang fokus kepada politik kaum Iban di Luar Bandar serta pensyarah dalam bidang politik di UNIMAS.