RAMALLAH: Pasukan tentera Israel telah menyerbu bandar Kobar di Tebing Barat pada Isnin dan menahan 10 penduduk Palestin, lapor agensi berita rasmi Turki Agency memetik kenyataan penduduk setempat.

Penduduk berkata tentera Israel telah menggeledah beberapa buah rumah di bandar itu sebelum menahan 10 orang.

Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan itu.

Tentera Israel telah mengadakan beberapa serbuan ke atas bandar itu sejak awal bulan ini selepas pembunuhan Assem Barghouti, seorang penduduk tempatan yang didakwa oleh pihak berkuasa Israel melancarkan serangan tembakan ke atas timur Ramallah pada 9 Dis, yang menyebabkan enam penduduk Israel cedera.

Media Israel turut melaporkan bahawa saudara lelaki Barghouti turut terlibat dalam satu lagi serangan tembakan ke atas timur Ramallah, yang menyebabkan dua tentera Israel terbunuh.

Tentera Israel sering menjalankan kempen penahanan meluas di seluruh Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang didudukinya atas alasan bagi memburu penduduk Palestin yang “dikehendaki.”

Menurut Suruhanjaya Tahanan dan Hal Ehwal Bekas Tahanan, tentera Israel telah menahan sejumlah 6,489 penduduk Palestin di kawasan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki tahun ini.–BERNAMA