Thursday, June 30, 2022

Sarawak sasar 5 juta pelancong pada 2019, tawar lebih banyak produk pelancongan — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak menyasarkan 5 juta pengunjung pada tahun ini, dengan kesemua mereka berbelanja sekitar RM8.8 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk tujuan itu Sarawak melancarkan Kempen Melawat Sarawak 2019 malam tadi dan berharap pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan akan menyumbang kepada pencapaian sasaran tersebut.

“Kita menjangkakan peningkatan pengunjung menerusi peningkatan konektiviti kita.

“Ketika ini kita bekerja rapat dengan syarikat penerbangan seperti Air Asia, Royal Brunei Airlines, dan Scoot dari Singapura untuk penerbangan langsung dari pelbagai destinasi.

“Malah kita akan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebagai terminal hub tambang murah rantau ini dengan kerjasama Air Asia,” katanya di hadapan lebih 20 ribu warga Kuching yang tidak berganjak biarpun hujan mencurah lebat sejak petang.

Foto: Page TVSarawak.com

Kempen sempena sambutan ambang 2019 itu turut dihadiri menteri-menteri negeri, termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Selain acara hiburan, kemuncak majlis merupakan persembahan bunga api dan pertunjukan cahaya berlatarkan Jambatan Darulhana dan Air Pancur Berirama.

Katanya lagi, syarikat tempatan juga diberikan ‘lampu hijau’ untuk mendapatkan sektor baharu bagi merancakkan lagi produk baharu.

Katanya, antara tarikan pelancong terbaharu di Kuching pada 2019 ialah Laluan Tradisi ‘Herritage Walk’ yang bermula dari sekitar Kampus Muzium Sarawak hingga ke kawasan perkampungan Melayu dan kawasan Padungan.

“Pada masa yang sama kita juga akan menaik taraf kemudahan-kemudahan di taman negara seperti Bako, Niah dan Semengoh,” tambahnya lagi.

Jelasnya, kehadiran lima juta pelancong ini dijangka akan memanfaatkan pemain-pemain industri termasuk hotel, teksi, restoran termasuk peniaga sayur.

Pada majlis yang sama juga, beliau mengulangi perancangan Kerajaan Negeri untuk membuka pejabat dagang di Singapura, Bandar Seri Begawan (Brunei) dan Pontianak (Indonesia).

Antara artis yang menghiburkan hadirin termasuklah Rem dan Noryn Aziz. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru